Penjagaan kulit adalah antara yang paling dititikberatkan oleh semua orang tidak kira lelaki mahupun wanita. Tapi pernahkah anda mengalami kulit merekah? Kulit merekah adalah satu masalah biasa yang berlaku akibat kulit kering, tetapi boleh disebabkan juga oleh trauma, kecederaan atau jangkitan.
Untuk memahami bagaimana kulit merekah berlaku, kita perlu lebih memahami terlebih dahulu tentang konsep kulit ‘brick and mortar’. Brick – merujuk kepada corneocytes (korneosit atau sel kulit) dan mortar merujuk kepada lapisan lipid di antara sel kulit. Jadi, sekiranya struktur brick and mortar kulit terjejas atau rosak dalam apa jua keadaan, ia akan mendedahkan kulit kepada kemudaratan.
Pendedahan kepada kesan buruk akan mempengaruhi keupayaan pengekalan air di dalam kulit. Apabila ini berlaku, akan menyebabkan dehidrasi terhadap korneosit yang menjadi punca kulit kering dan merekah. Sekali gus, keupayaan kulit daripada agen-agen alam sekitar terjejas dan dan akhirnya mewujudkan keradangan pada kulit seperti ekzema.
Kulit merekah ini boleh berlaku disebabkan oleh banyak faktor dan ia adalah berbeza pada setiap lapisan individu. Mengambil contoh bayi, kulit kering dan merekah mungkin disebabkan oleh pre-deposisi genetik kepada penyakit atopik (alahan rinitis, ekzema atopik, asma bronkial, alahan konjunktivitis), atau tindak balas tidak normal terhadap organisma komensal, seperti Malassezia furfur.
Ia mungkin juga disebabkan oleh agen-agen alam sekitar seperti pendedahan kepada bahan pencuci yang kuat, kekurangan pelembap, penggunaan tisu basah yang kerap, kerengsaan disebabkan najis dan air kencing kerana jarang menukar lampin.
Bagi individu dewasa,mereka berpotensi terdedah kepada pelbagai alergen, disebabkan penglibatan fizikal berkaitan pekerjaan atau hobi. Sekiranya mereka ini pernah mengalami ekzema ketika kecil dan telah stabil, kemungkinan masalah ekzema ini boleh berulang semula disebabkan pendedahan kepada agen-agen.
Bahagian badan yang berisiko mengalami kulit kering dan merekah sebahagian besarnya di tangan dan kaki, kerana geseran akibat melakukan aktiviti harian atau pendedahan kepada alergen. Jika dilihat pada bayi pula (yang menderita dermatitis atopik) akan cenderung mengalami rekahan pada bahagian pipi, ekstensor tangan dan kaki.
Cara mencegah kulit kering dan merekah sangat berkait dengan pengamalan rutin penjagaan kulit, iaitu mencuci dan melembapkan kulit dengan betul. Menggunakan pencuci ringan yang mempunyai paras pH sekitar 5-7 adalah paling terbaik bagi mengekalkan lapisan asid kulit. Selain itu, pengunaan pencuci ringan yang mengandungi bahan pengawet dan pewangi yang minimum turut membantu mencegah kulit kering.
Seterusnya, penggunaan pelembap, digunakan untuk mengurangkan kehilangan air dari kulit. Pelembap yang baik harus mengandungi tiga bahan utama – emollient, occlusive dan humectant. Emollient berfungsi sebagai pelicin kulit dengan mengisi ruang antara kulit yang merekah. Pelembap occlusive pula bertindak untuk mengatasi kehilangan air dari kulit. Manakala humectant, akan menarik dan mengikat air dari epidermis yang lebih dalam kepada permukaan kulit.
Rawatan bagi mengatasi kulit kering dan merekah melibatkan dua langkah utama iaitu kawalan keradangan dan pengekalan fungsi kulit sebagai penghalang kepada kemasukan anasir luar. Pelaksanaan langkah-langkah ini harus memfokuskan kepada mengekalkan fungsi penghalang kulit (skin barrier function). Ia melibatkan prosedur pembersihan dan pelembapan yang betul, yang memainkan peranan utama.
Penting untuk individu yang mempunya masalah kulit kering untuk memahami komposisi yang berbeza dalam penyediaan topikal. Penggunaan produk yang bersesuai dengan jenis kulit dan digunakan secara konsisten mampu memberikan tahap kebersanaan yang maksimum.
Disebabkan negara Malaysia mempunyai cuaca panas dan lembap, losyen dan krim adalah lebih sesuai untuk digunakan. Namun, bahan pengawet dalam produk losyen mungkin akan menyebabkan risiko tindak balas yang tinggi.
Petrolatum – contoh seperti Vaseline adalah bahan yang mempunyai untuk mencegah 99 peratus kehilangan air dari epidermis dan mampu menyekat pertumbuhan bakteria. Walau bagaimanapun, disebabkan konsistensi berminyak petrolatum, sesetengah individu mungkin tidak dapat bertoleransi terhadap penggunaannya ke atas kulit. Ia juga boleh menyumbang kepada penutupan folikel rambut dan akhirnya menyebabkan keradangan.
Oleh itu, individu dengan masalah kulit kering dan merekah boleh berjumpa dengan pakar untuk mendapatkan nasihat professional pada peringkat awal. Ia dapat membantu untuk mengambil dan mengamalkan langkah pencegahan yang betul. Elakkan mengambil ubat-ubatan sebagai satu kaedah rawatan sekiranya tidak mendapat nasihat atau saranan daripada peofesional perubatan.