Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bersetuju untuk menangguhkan semua bayaran balik pinjamannya selama tiga bulan susulan penularan wabak COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan semasa yang menyaksikan ekonomi negara turut terjejas.
Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Pengajian Tinggi, Noraini Ahmad. Penangguhan bayaran PTPTN itu akan berkuat kuasa serta-merta selama tiga bulan sehingga 30 Jun 2020.
“Mengambilkira kesan wabak penyakit COVID-19 kepada ekonomi negara, yang mengakibatkan kehilangan dan kekurangan sumber pendapatan kepada peminjam PTPTN, kerajaan telah bersetuju supaya PTPTN menangguhkan pembayaran balik kepada semua peminjam.
“Selaras dengan penangguhan itu, semua peminjam PTPTN juga akan dikecualikan daripada tindakan penguatkuasaan dan perundangan,” katanya dalam satu kenyataan.
![](https://themalaysiapost.com/wp-content/uploads/2020/03/645954.jpg)
Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pengajian Tinggi Datuk Noraini Ahmad yang bersetuju dengan cadangan yang diberikan.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pengajian Tinggi YB Datuk Noraini yang bersetuju dengan cadangan memberi kelonggaran kepada para peminjam PTPTN.
“Saya amat gembira kerana ia dapat dilaksanakan dengan kadar segera, hanya beberapa hari sahaja selepas cadangan tersebut diangkat kepada beliau,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Penangguhan bayaran balik pinjaman akan memberi manfaat dan membantu hampir 1.5 juta peminjam PTPTN yang melibatkan jumlah kutipan bagi tempoh penangguhan ini sebanyak RM375 juta.