KUALA LUMPUR, 17 April 2025 – Mahkamah Rayuan hari ini mendengar hujahan pihak pendakwaan yang mendakwa Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mengarahkan bekas Penolong Bendahari Armada, Rafiq Hakim Razali untuk ‘clearkan’ sejumlah wang berjumlah RM1 juta kerana bimbang ia akan disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, berhujah bahawa tindakan tersebut menunjukkan unsur ketidakjujuran dalam pengendalian dana sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Syed Saddiq Perintah Wang RM1 Juta Dilupuskan Dipersoal Pendakwa Raya
Menurut Wan Shaharuddin, Syed Saddiq dipercayai telah memberikan arahan kepada Rafiq untuk tidak menyimpan wang itu di rumahnya, sebaliknya melupuskan dana tersebut kerana bimbang ia akan dirampas pihak berkuasa.
“Semasa pemeriksaan balas, saksi pendakwaan ke-13 (SP13) bersetuju bahawa arahan untuk ‘clearkan’ wang datang daripada Syed Saddiq. Bila ditanya oleh peguam sama ada maksud ‘clear’ itu adalah ‘dispose’ (lupuskan), saksi mengesahkan, ‘ya’,” kata beliau di hadapan panel hakim.
Baca lagi | Syed Saddiq Gelar DAP ‘Lapdog Zahid’
Pembelaan PRU-14 oleh Syed Saddiq Dianggap Sekadar “Afterthought”
Dalam hujahan tambahan, Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan menolak pembelaan pihak tertuduh yang mendakwa wang tersebut adalah bayaran balik untuk perbelanjaan semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Menurut beliau, Syed Saddiq tidak pernah menyatakan kepada saksi bahawa wang berkenaan merupakan “reimbursement”, dan alasan tersebut hanya dibangkitkan selepas siasatan dijalankan, menjadikannya satu “afterthought”.
Empat Pertuduhan Jenayah Syed Saddiq Di Hadapan Mahkamah
Syed Saddiq kini sedang berdepan empat pertuduhan jenayah:
1. Pertuduhan Pecah Amanah (CBT)
Didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali dalam pecah amanah melibatkan RM1 juta dana Armada yang didakwa terjadi pada 6 Mac 2020 di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Kuala Lumpur.
Seksyen 406 Kanun Keseksaan – Penjara sehingga 10 tahun, sebatan, dan denda.
2. Pertuduhan Salah Guna Dana
Menyalahgunakan wang berjumlah RM120,000 untuk kepentingan peribadi. Wang tersebut dikeluarkan dari akaun Armada Bumi Bersatu Enterprise antara 8 hingga 21 April 2018.
Seksyen 403 Kanun Keseksaan – Penjara 6 bulan hingga 5 tahun, sebatan, dan denda.
3 & 4. Pertuduhan Pengubahan Wang Haram
Didakwa memindahkan wang masing-masing RM50,000 dari akaun peribadi ke akaun Amanah Saham Bumiputera pada 16 dan 19 Jun 2018 di Johor Bahru.
Seksyen 4(1)(b), Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 – Penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai wang.
Baca lagi | Vivy Yusof dan Suami Didakwa Pecah Amanah Dana Khazanah, PNB RM8 Juta
Kes ini mendapat liputan meluas kerana melibatkan figura politik muda terkenal dan bekas Menteri Belia dan Sukan. Ia turut mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan pemerhati politik serta netizen, terutama tentang isu integriti dan kepercayaan terhadap pemimpin muda negara.
Prosiding masih diteruskan dan mahkamah dijangka membuat keputusan lanjut selepas semua hujahan selesai.