Kerajaan menetapkan bahawa pertukaran majikan bagi pekerja asing kini hanya dibenarkan dalam sektor formal sahaja, kata Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.
Menurut beliau, keputusan itu adalah selaras dengan dasar baharu yang diumumkan kerajaan, bertujuan menambah baik pengurusan pekerja asing serta mengurangkan risiko pekerja tidak berdokumen atau lari daripada majikan.
“Pertukaran majikan hanya dibenarkan dalam sektor formal, yang merangkumi pekerjaan yang dikawal selia oleh kerajaan serta menyediakan faedah pekerjaan seperti perlindungan sosial, kesihatan dan caruman persaraan,” jelasnya semasa sidang media Bulan Pemutihan 2025 di Menara PERKESO, hari ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa sektor formal meliputi industri seperti pembuatan, penjagaan kesihatan, kewangan, pendidikan dan perkhidmatan awam.
Garis Panduan Pertukaran Majikan Oleh Pekerja Asing Akan Diperincikan – Steven Sim
Steven berkata, kerajaan dalam peringkat akhir merangka garis panduan pelaksanaan dasar ini termasuk syarat tempoh minimum perkhidmatan sebelum pertukaran boleh dibuat, serta keperluan mendapatkan kelulusan daripada majikan sedia ada dan baharu.
“Persetujuan daripada pekerja sendiri juga diperlukan bagi memastikan proses berlaku secara sukarela dan sah di sisi undang-undang,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa pekerja domestik atau pembantu rumah tidak tergolong dalam sektor formal dan oleh itu tidak termasuk dalam inisiatif ini.
Langkah Atasi Masalah Pekerja Asing Tanpa Dokumen
Menteri Sumber Manusia itu turut menyatakan bahawa dasar ini berpotensi mengurangkan kes pekerja asing melarikan diri atau bekerja secara tidak sah.
“Sebagai contoh, jika syarikat tempat pekerja berkhidmat menamatkan operasi, pekerja yang masih mempunyai permit sah boleh dipindahkan ke majikan lain secara sah dan teratur,” katanya.
Tambah beliau, setiap permohonan pertukaran juga tertakluk kepada kuota tenaga kerja sektor terbabit serta kelulusan pihak berkaitan.
Baca lagi:
- Kerajaan Umum Caruman KWSP 2% untuk Pekerja Asing
- PM Anwar: Putrajaya Permudahkan Peraturan Pengambilan Pekerja Asing
Dasar Baharu Kerajaan Libat Pertukaran Rentas Sektor Formal
Kerajaan kini membenarkan pekerja asing bertukar sektor pekerjaan susulan kelulusan dasar baharu yang diumumkan semalam oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. Keputusan pertukaran majikan oleh pekerja asing ini dicapai melalui Mesyuarat Jawatankuasa Bersama antara Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia berkaitan pengurusan pekerja asing.
Sebelum ini, pertukaran majikan hanya dibenarkan dalam sektor yang sama, dan ia juga tertakluk kepada syarat seperti syarikat tutup, penstrukturan semula, atau kelulusan khas daripada Jabatan Tenaga Kerja.