ISLAMABAD, 10 Mei 2025 – Dalam satu kenyataan yang mencetuskan ketegangan baharu di Asia Selatan, pihak tentera Pakistan mendakwa telah berjaya menghancurkan sistem pertahanan udara canggih milik India, iaitu S-400, dalam satu serangan udara strategik di Adampur, Jalandhar, Punjab.
Sistem Pertahanan Udara Milik India S-400 Musnah
Menurut kenyataan rasmi daripada Inter-Services Public Relations (ISPR), operasi tersebut dijalankan dengan menggunakan peluru berpandu hipersonik yang dilancarkan dari pesawat pejuang JF-17. Serangan yang dikatakan disasarkan secara tepat itu berjaya melumpuhkan sistem pertahanan udara paling moden milik India yang dianggarkan bernilai sekitar AS$1.5 bilion (RM7 bilion).
ISPR menjelaskan bahawa tindakan itu merupakan sebahagian daripada operasi ketenteraan berskala besar yang dinamakan “Bunyanun Marsoos”. Operasi tersebut dilancarkan sebagai tindak balas terhadap siri provokasi berterusan oleh pihak India di sepanjang sempadan.
“Kami melaksanakan serangan secara terancang ke atas sasaran bernilai tinggi termasuk sistem pertahanan utama India bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara,” kata kenyataan itu.
Implikasi Ketenteraan dan Geopolitik Susulan Perang India, Pakistan
Penganalisis pertahanan yang ditemu bual oleh agensi berita Xinhua menyatakan bahawa kejayaan melumpuhkan sistem S-400 berpotensi melemahkan keupayaan pertahanan udara India di rantau berkenaan. Ini juga dijangka memberi kesan besar kepada keseimbangan kuasa ketenteraan antara kedua-dua negara yang memiliki senjata nuklear tersebut.
Sistem S-400 yang dibangunkan oleh kerajaan Rusia cukup terkenal dengan kemampuan sistemnya dalam mengesan dan menembak jatuh pelbagai jenis peluru berpandu dan pesawat musuh dalam radius ratusan kilometer. Pemusnahan sistem tersebut dianggap sebagai satu tamparan besar kepada kesiapsiagaan ketenteraan India.
Baca juga:
- Konflik India-Pakistan Berisiko Jejas Keselamatan Makanan Global
- Penunjuk Perasaan Bakar Kediaman Bersejarah Bangladesh
Krisis Pakistan, India: Ketegangan Serantau Semakin Meningkat
Hubungan antara India dan Pakistan terus meruncing sejak dua menjak ini berikutan siri serangan rentas sempadan dan insiden ketenteraan yang saling membalas. India sebelum ini mendakwa beberapa pangkalan tenteranya turut menjadi sasaran peluru berpandu yang dilancarkan oleh Pakistan.
Namun setakat ini, belum ada apa-apa lagi maklum balas rasmi yang diterima daripada pihak berkuasa India berkenaan dakwaan pemusnahan sistem S-400 oleh tentera Pakistan tersebut.
Pemerhati antarabangsa menyeru agar kedua-dua negara bersikap tenang dan mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan konflik berskala besar bahkan pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga sedang memainkan peranan bagi menggesa agar saluran diplomatik segera digunakan untuk meredakan ketegangan.