The Malaysia Post

Lukisan pelukis terkenal, Van Gogh dibawa lari dari Muzium Belanda, kebetulan pada tarikh lahirnya.

Siapa yang tidak mengenali Vincent van Gogh, iaitu seorang pelukis terkenal dunia yang menghasilkan karya-karya lukisan berkualiti tinggi dan diminati ramai. Bahkan, terdapat lukisan beliau yang mencecah sehingga berharga jutaan ringgit. Sungguh luar biasa!

Bagaimanapun, baru-baru ini lukisan beliau yang bertajuk “The Parsonage Garden at Nuenen in Spring 1884” telah dibawa lari dari Muzium Singer Laren, di Laren. Lukisan bertarikh sekitar tahun 1884 yang menggambarkan taman kubah di Nuenen itu telah dipinjamkan ke muzium tersebut dari Muzium Groninger.

Karya lukisan agung Vincent van Gogh “The Parsonage Garden at Nuenen in Spring” yang dicuri dari Muzium Singer Laren

Dipercayai, muzium tersebut dipecah masuk sekitar jam 3.15 pagi pada pagi Isnin. Muzium Singer Laren ditutup kepada orang ramai berikutan penularan pandemik koronavirus di Eropah. Menurut laporan, pencuri dipercayai memasuki pintu depan muzium sebelum membawa lari lukisan tersebut. Walaupun penggera keselamatan berfungsi ketika pecah masuk itu, namun pencuri berjaya melarikan diri sebelum pihak polis sampai ke lokasi kejadian.

Pengarah Muzium Singer Laren, Jan Rudolph de Lorm melahirkan rasa terkejut dengan apa yang berlaku.

“Lukisan yang indah dan mempersonakan oleh salah seorang pelukis tersohor, dicuri daripada komuniti… Ianya mesti dikembalikan dengan segera, supaya kita dapat menikmati dan berasa nyaman dengan karya agung ini semula.

“Seni wajar untuk dipertontonkan dan dikongsi oleh kita semua, iaitu komuniti,” beliau menambah lagi.  

Yang menjadi tanda tanya ialah lukisan itu secara kebetulan dicuri bertepatan dengan tarikh van Gogh dilahirkan iaitu pada 30 Mac 1853.

Polis masih lagi sedang berusaha mencari rakaman keselamatan dan mengambil keterangan saksi, serta memeriksa bukti forensik. Muzium Singer Laren ditutup kepada orang ramai berikutan perintah berkurung yang dijalankan di Belanda atas faktor kebimbangan penularan jangkitan COVID-19.

Vincent van Gogh

Ini bukan kali pertama lukisan Van Gogh dicuri dalam beberapa dekad kebelakangan ini. Pada tahun 1991, pencuri berjaya mengeluarkan 20 buah lukisan bernilai kira-kira US$500 juta. Pada tahun 2016, polis Itali menemui dua lukisan Van Gogh – masing-masing dilaporkan bernilai melebihi US$50 juta di sebuah rumah di selatan Naples yang dipercayai milik pengedar dadah. Lukisan itu dilaporkan dicuri pada tahun 2002, juga dari Muzium Van Gogh di Amsterdam.

About J M Riaz

JM Riaz merupakan seorang wartawan hiburan yang gemar membuat liputan berita terkini di dunia. Dia bersemangat untuk membawa orang ramai yang terkini dan terhebat dalam hiburan. JM suka berinteraksi dengan pembacanya dan mendengar pendapat mereka tentang cerita terkini.

Read Previous

Sempena World Backup Day, dikongsikan 3 cara mudah backup data di komputer

Read Next

Bazaar Ramadhan berkemungkinan diteruskan sekiranya garis panduan dipatuhi oleh rakyat Malaysia

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.