The Malaysia Post

Konflik Laut China Selatan, Malaysia komited lindungi kepentingan dan hak negara secara damai

Penularan wabak COVID-19 di seluruh dunia menjadi isu utama dan setiap negara bertungkus-lumus menyelesaikan kemelut ini secepat yang mungkin. Malaysia sebagai sebuah negara yang sedang membangun juga menunjukkan kemampuan dan kesiap-siagaan dalam menangani wabak ini.

Namun dalam pada itu, ada aspek keselamatan negara yang sedang menimbulkan kekacauan di perairan negara kita di sebalik penularan virus maut ini.

Sejak minggu lalu, aset-aset China Coast Guard (CCG) melakukan pergerakan memasuki kawasan perairan zon ekonomi eksklusif Malaysia dengan 6 buah kapal termasuk kapal peronda terbesar dunia, Zhaotou Class (3901) dan kapal penyelidik, Haiyang Dizhi 8, berdekatan dengan kawasan West Capella beroperasi.

Kapal penyelidikan kerajaan China itu dilihat melakukan tinjauan berdekatan dengan kapal penggerudi yang dikontrak di bawah syarikat minyak negara, Petronas. West Capella merupakan kapal penggerudi telaga minyak milik Seadrill dan dikontrakkan oleh Petronas, menjadi ‘epicenter’ bagi ketegangan di antara China dan Amerika Syarikat (AS).

Justeru itu, Malaysia kekal teguh dalam komitmennya untuk melindungi hak dan kepentingannya di Laut China Selatan dan meminta agar ketegangan ini dapat diselesaikan dengan cara damai.

Menurut Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata akan memikirkan penyelesaian yang lebih mesra terhadap semua bentuk perselisihan melibatkan wilayah teritori. Sebarang pertikaian seharusnya diselesaikan secara saksama menerusi penyelesaian damai, diplomasi dan saling percaya antara semua pihak terbabit.

Beliau berkata disebabkan isu itu rumit dan sensitif, semua pihak mesti bekerjasama untuk menjaga keamanan, keselamatan dan kestabilan di Laut China Selatan serta meningkatkan usaha membina, mengekal dan memperkukuh keyakinan serta rasa saling mempercayai.

“Malaysia berpegang kepada anggapan bahawa Laut China Selatan harus kekal sebagai perairan untuk keamanan dan perdagangan.

“Oleh itu, perkara berkait Laut China Selatan mesti diselesaikan secara aman berasaskan prinsip undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982,” katanya.

Meskipun, undang-undang antarabangsa menjamin kebebasan pelayaran, kehadiran kapal perang dan kapal, Laut China Selatan berpotensi mencetuskan ketegangan, seterusnya mengakibatkan salah percaturan yang boleh mempengaruhi keamanan, keselamatan dan kestabilan di rantau itu.

Sebelum ini, kapal perang AS dan Australia dilaporkan tiba di Laut China Selatan berhampiran tapak operasi West Capella, lokasi yang menjadi pertikaian China. Kehadiran kapal perang terbabit dikatakan sebagai amaran kepada China dan menggesa agar republik itu menghentikan sikap ‘pembuli’ di perairan yang dalam pertikaian.

Laut China Selatan merupakan wilayah perairan strategik yang bersempadan dengan Brunei Darussalam, Filipina, Indonesia, Vietnam, Malaysia, dan Singapura. China seringkali menuntut hampir sebahagian besar sebagai kawasan teritorinya. Namun perkara itu ditentang oleh negara-negara ASEAN, termasuk AS.

About J M Riaz

JM Riaz merupakan seorang wartawan hiburan yang gemar membuat liputan berita terkini di dunia. Dia bersemangat untuk membawa orang ramai yang terkini dan terhebat dalam hiburan. JM suka berinteraksi dengan pembacanya dan mendengar pendapat mereka tentang cerita terkini.

Read Previous

Kuala Lumpur diisytihar sebagai Ibu Kota Buku Dunia 2020 oleh UNESCO

Read Next

Projek minyak sawit sintetik, minyak sawit tulen Malaysia tidak terancam

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.