Terdapat kes di luar negara di mana terdapat haiwan peliharaan yang didapati positif COVID-19. Walau bagaimanapun, ianya tidak dapat dipastikan sama ada haiwan peliharaan tersebut dijangkiti oleh pemiliknya atau jangkitan haiwan ke haiwan lain. Kes COVID-19 dalam kalangan haiwan peliharaan sangat rendah berbanding dengan kes COVID-19 yang menjangkiti manusia di mana setakat ini sudah meragut 170,000 nyawa di seluruh dunia.
Menurut Persatuan Haiwan Malaysia, kes pembuangan haiwan peliharaan seperti anjing dan kucing telah meningkat tiga kali ganda di kawasan sekitar Kuala Lumpur semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac lalu.
Presiden persatuan, Arie Dwi Andika memaklumkan perkara itu berdasarkan terdapat peningkatan ketara dalam jumlah kucing dan anjing baharu dalam satu-satu kawasan yang dijaga oleh komuniti pemberi makan haiwan jalanan.
Komuniti pemberi makan haiwan jalanan ini melaporkan haiwan seakan baru sahaja terbiar ini dilihat di beberapa lokasi seperti di kawasan perindustrian yang sunyi dan bukannya di kawasan perumahan.
Menurut Arie, kemungkinan pemilik haiwan yang tidak bertanggungjawab ini memilih untuk membuang haiwan peliharaan mereka di kawasan itu bagi mengaburi mata orang awam tanpa mempedulikan langsung keselamatan dan makan minum haiwan berkenaan.
“Misalnya, sesuatu kawasan itu selalu ada lima ekor anjing, tetapi semalam jumlah itu meningkat kepada 18 hingga 20 ekor, kira-kira tiga kali ganda. Kesemua anjing yang dibuang itu berada dalam keadaan sihat dan sangat bersih,” katanya.
Selain itu, kelakuan anjing-anjing tersebut juga amat jinak dan tidak agresif, menambahkan lagi pendapat bahawa haiwan ini sememangnya memilik pemiliknya sebelum dibuang.
Persatuan itu juga tidak menolak kemungkinan bahawa haiwan yang dibuang ini adalah kerana pemilik merasa khuatir jangkitan penyakit, selain tidak mampu lagi meneruskan memelihara haiwan peliharaan mereka kerana hilang sumber pendapatan sewaktu musim PKP ini.
Sehubungan itu, persatuan menggesa pihak berkuasa mewajibkan pemasangan mikrocip identiti di badah haiwan peliharaan masing-masing bagi memudahkan pengesanan pemilik haiwan ini seandainya ia dibuang.
Arie turut mempersoalkan kenapa pemilik haiwan tidak mengambil tanggungjawab untuk menjaga haiwan peliharaan mereka, dan mendakwa pembuangan haiwan peliharaan adalah tindakan tidak berkeperimanusiaan.
“Ke manakah kasih sayang sebelum ini telah pergi? Apakah nasib anjing dan kucing peliharaan yang selama ini menganggap pemilik sebagai keluarga sendiri dan sebagai tempat berteduh selepas dibuang,” soalnya.
Sementara itu, pemilik haiwan yang didapati meninggalkan mana-mana haiwan yang menyebabkan ia terabai, sakit, lapar dan dahaga, boleh didakwa di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015, dengan hukuman denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun.