Isu membabitkan dakwaan cabul seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun oleh seorang pekerja warga Bangladesh di sebuah kedai serbaneka di Kajang, Selangor, kini menimbulkan persoalan besar terhadap ketelusan siasatan pihak berkuasa. Lebih mengejutkan, kes berprofil sensitif ini diklasifikasikan sebagai No Further Action (NFA), manakala bapa mangsa pula bakal berdepan pertuduhan di mahkamah.
Bapa Mangsa Kes Cabul Kanak-Kanak Berdepan Pertuduhan, Suspek Warga Asing Masih Bebas.
Perikatan Nasional (PN) melalui Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, tampil menawarkan khidmat guaman percuma kepada bapa mangsa, yang kini berdepan pertuduhan. Dalam kenyataannya, beliau mempertikai keras tindakan pihak berkuasa, yang disifatkannya sebagai tidak munasabah dan mencemarkan imej sistem keadilan negara.
“Ini menimbulkan tanda tanya kenapa pihak berkuasa meletakkan kes ini NFA.
“Tunggu benda ini meletus seluruh negara baru nak buat macam Almarhumah Zara Qairina (Mahathir). Jadi, kami minta pihak berwajib tampil ke depan dan memberi penjelasan.
“Bagi pihak PN kami bersedia membela akibat pertuduhan-pertuduhan yang saya sebutkan tadi,” katanya pada sidang media di Parlimen, yang turut dihadiri Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermiyatie Samsudin.
Menurut Wan Ahmad Fayhsal, bapa mangsa didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas dakwaan menyebarkan kandungan menyinggung di media sosial.
Latar Belakang Kes Cabul Kanak-Kanak Kajang
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, dalam kenyataannya memaklumkan bahawa pihak polis mengesan video tular di platform X (dahulu Twitter) yang memaparkan dakwaan seorang lelaki warga Bangladesh memegang dada mangsa perempuan.
Siasatan mendapati laporan polis dibuat oleh bapa mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun, pada 12 Mac lalu, hampir dua minggu selepas kejadian pada 27 Februari 2025. Difahamkan, laporan dibuat selepas mangsa menceritakan insiden itu kepada bapanya pada 11 Mac.
Isu Prosedur Siasatan Kes Cabul Kanak-Kanak Kajang Dipertikai PN
Peguam yang dilantik PN, Mohd Redzuan Mohamed Yusoff, mempersoalkan kelemahan dalam proses siasatan, khususnya kegagalan pihak berkuasa mendapatkan keterangan mangsa melalui Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC), prosedur standard dalam kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak.
“Hasil semakan mendapati laporan polis telah dibuat oleh seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun pada 12 Mac lalu, mendakwa anaknya berusia sembilan tahun dicabul pekerja terbabit,” katanya pada satu kenyataan.
Baca juga:
- #MakeSchoolASaferPlace : Guru wanita mendedahkan mereka juga menjadi mangsa gangguan seksual
- Polis Berkas Remaja Lelaki Cabul Kucing di Bukit Panjang
Mohd Redzuan turut memberi amaran bahawa kegagalan mengesan suspek bukan sahaja melemahkan kes pendakwaan, malah menghantar mesej yang salah kepada masyarakat tentang keberkesanan sistem keadilan jenayah di Malaysia.
“Dari bulan Februari sehingga kini hanya diambil keterangan di bilik pegawai penyiasat, (mangsa) belum diambil keterangan melalui CIC itu.
“Suspek (sebelum ini) telah dibawa ke balai polis, pihak polis lepas tanpa reman sehingga sekarang kes belum selesai…
“Suspek tersebut telah berhenti kerja, persoalan di sini bagaimana pihak polis ingin teruskan siasatan jika suspek tak dapat dikesan. Di mana suspek tersebut ketika ini, tanpa suspek tak ada guna,” katanya.