KINABATANGAN, 14 Julai 2025 – Suasana politik Sabah kembali hangat apabila Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, tampil lantang mencabar Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Hal ini berikutan kenyataan terbaru yang dikeluarkan Bung Mokhtar untuk GRS, supaya parti tersebut untuk segera memuktamadkan pendirian mereka berhubung Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Berucap dalam program santai rakyat bertajuk ‘Radu Tetap Radu’ di Kampung Nusa Jaya, Kinabatangan, Bung Moktar tidak berselindung menyuarakan rasa tidak percaya beliau terhadap GRS dan menganggap gabungan itu hanya bermain wayang politik semata-mata.
“Politik ini mana ada pusing-pusing. Kalau betul GRS kukuh, buat sajalah keputusan. Bukan susah pun,” katanya dengan nada sinis tetapi tegas di hadapan ratusan penduduk tempatan yang hadir.
Bung Moktar: “GRS Bukan Kawan, Tapi Pengkhianat”
Beliau turut mengulangi pendiriannya bahawa BN Sabah tidak akan bekerjasama dengan GRS dalam PRN17 atas alasan pengkhianatan masa lalu. Menurutnya, kepercayaan sudah lama hilang apabila pemimpin GRS sering melompat parti demi kepentingan peribadi.
“Saya tidak percaya GRS. Pemimpin mereka semua penipu. Hari ini cakap lain, esok buat lain. Kalau jenis suka lompat, memang pengkhianat,” katanya disambut sorakan dan tepukan.
Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada peristiwa politik sebelum ini di mana beberapa wakil rakyat Sabah bertindak keluar parti untuk menyertai gabungan kerajaan negeri semasa.
GRS Mahu Bertanding Solo – Tapi Bung Moktar Mahu Tindakan, Bukan Sekadar Cakap
Sebelum ini, pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, dan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, menyatakan bahawa kedua-dua parti KDM itu bersetuju agar GRS bertanding secara solo dalam PRN akan datang dan tidak berkejarsama dengan BN.
Mereka juga bersetuju untuk mengelak pertembungan kerusi antara PBS dan STAR, sekaligus memberi isyarat bahawa GRS sedang merangka strategi berasingan daripada BN. Namun begitu, Bung Moktar tetap melihat kenyataan itu sebagai belum muktamad dan hanya sekadar ‘test water’.
“Kalau betul GRS yakin, tunjukkan dengan tindakan. Jangan main-mainkan rakyat Sabah dengan kenyataan politik murahan,” katanya.
UMNO Sabah Pilih Calon ‘Power’ – Bukan Sekadar Popular
Dalam masa sama, Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah turut menyatakan bahawa parti itu akan memilih calon terbaik, bukan sekadar calon popular atau berdasarkan hubungan peribadi.
“Kita nak orang yang boleh kerja, boleh ‘deliver’. Kalau kawan tapi tak boleh buat kerja, saya tak pilih,” jelas beliau sambil menambah bahawa beliau dan Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak akan memainkan peranan besar dalam proses pemilihan calon.
Beliau turut menegaskan hasrat untuk mempertahankan semula kerusi DUN Lamag, yang dimenanginya pada PRN lalu dengan majoriti tipis 661 undi.
Baca juga:
- Umno Sabah Tidak Terlibat dalam Skandal Rasuah GRS – Bung Moktar
- Bung Moktar Tegaskan BN Berhak Bertanding PRN Sabah
PRN17 Dijangka Sengit – Rakyat Sabah Jadi Penentu Arah Politik
Dengan pelbagai pihak mula menyatakan pendirian dan strategi, PRN Sabah ke-17 dijangka akan menjadi medan yang sengit dan berwarna-warni. Sama ada BN, GRS atau parti-parti baharu yang bakal muncul, rakyat Sabah akan menjadi penentu sebenar arah politik negeri ini.
Yang pasti, suara Bung Moktar sekali lagi mencuri perhatian – tegas, lantang dan tanpa selindung. Sama ada rakyat Sabah bersetuju atau tidak dengan pendiriannya, hanya masa yang akan menentukan.