The Malaysia Post

Institusi Raja tiang seri kedaulatan negara

Institusi Raja-Raja Melayu ialah institusi tertua dan sedia wujud dalam sistem sosial di negeri Melayu. Sejak berabad, ia terbabit secara langsung dalam pemerintahan Tanah Melayu dan Malaysia. Istilah ‘kerajaan’ dipercayai berasal daripada ‘Raja’. Ia membuktikan ‘Raja’ dan ‘kerajaan’ mempunyai hubung kait rapat hingga digunakan sebagai gelaran ketua negara ini dan ketua negeri bagi sembilan negeri mengamalkan sistem beraja.

Menurut sistem beraja, Raja mempunyai kuasa mutlak dalam setiap pemerintahan dan pentadbiran negeri dibantu pembesar dilantik khususnya sebelum penjajahan Inggeris.

Apabila Persekutuan Tanah Melayu merdeka, institusi pemerintahan beraja diteruskan dengan beberapa pindaan, disesuaikan konsep Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.

Menurut konsep Raja Berperlembagaan, mereka menerima nasihat daripada menteri dan bertindak menurut nasihat itu. Sebagai contoh, pada peringkat Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dalam menjalankan tugas baginda hendaklah bertindak menurut nasihat Kabinet.

YDPA mesti dilantik, iaitu seorang Sultan dipilih daripada Raja-Raja sembilan negeri Melayu. Berdasarkan konsep Raja Berperlembagaan, YDPA diberi kuasa memerintah Persekutuan di mana baginda dikehendaki bertindak atas nasihat Kabinet.

YDPA juga pemerintah tertinggi angkatan tentera Persekutuan dan mempunyai kuasa mengampunkan dan menangguhkan hukuman orang disabitkan mahkamah tentera serta bagi kesalahan dilakukan dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Baginda antara tiga unsur utama badan perundangan Persekutuan, iaitu Parlimen. Sebagai individu utama dalam Persekutuan, baginda mempunyai kuasa membuat pelantikan penting bukan saja menurut Perlembagaan, bahkan Akta Parlimen.

Perlembagaan memperuntukkan YDPA dan semua Raja serta gabenor agar sentiasa bertemu mewujudkan hubungan kerja yang baik. Ini dapat dilaksanakan dengan penubuhan Majlis Raja-Raja yang mempunyai sekretariat tetap diketuai Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. Majlis Raja-Raja juga dibenar membincangkan apa-apa hal berhubung Persekutuan, beberapa pelantikan perlu dibincangkan dengan majlis seperti pengerusi suruhanjaya dan juga mempunyai wakil dalam Majlis Angkatan Tentera.

Institusi Raja wujud di negara ini dilindungi Perlembagaan melalui Perkara 38(4), iaitu tiada pindaan boleh dibuat terhadap peruntukan berhubung Majlis Raja-Raja, susunan keutamaan dan hak mereka untuk warisan sebagai Raja negeri masing-masing tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.

Tiada undang-undang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran mereka boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja. Ini menunjukkan amat sukar memperoleh persetujuan seperti itu dan terlindung menurut Perlembagaan.

Selain melaksanakan kuasa diperuntukkan Perlembagaan, YDPA juga lambang perpaduan masyarakat Malaysia pelbagai etnik yang menganggap baginda sebagai pemelihara kepentingan dan harapan rakyat negara ini.

Di bawah Perlembagaan diperuntukkan bahawa menjadi tanggungjawab dan amanah YDPA untuk memelihara kedudukan istimewa orang Melayu, Bumiputera Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum lain.

Majlis Raja-Raja juga ada kuasa dalam pindaan terhadap peruntukan berkaitan kewarganegaraan. Tanggungjawab itu amat sukar kerana isu seperti agama dan kedudukan istimewa orang Melayu serta kewarganegaraan sering menjadi polemik. Jika tidak ditangani baik, ia boleh menggugat kestabilan negara.

Institusi Diraja juga dikaitkan persoalan agama kerana mereka ketua agama di negeri masing-masing dan bertanggungjawab menjaga Islam serta sebarang pindaan yang ingin dibuat perlu mendapat perkenan Raja-Raja dahulu.

Rasional peranan Majlis Raja-Raja dalam soal ini ialah Perlembagaan hanya menekankan persoalan pentadbiran negara. Maka, hal agama dibiarkan untuk dikendalikan institusi beraja.

YDPA juga lambang keadilan dan kesaksamaan kerana baginda melantik semua hakim Mahkamah Persekutuan serta Mahkamah Tinggi atas nasihat Perdana Menteri setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja. Begitu juga perlu dirunding mengenai pelantikan juruaudit negara, pengerusi dan ahli Suruhanjaya Pilihan Raya serta Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran. Jawatan ini penting dalam menjaga hak rakyat dengan sikap berkecuali, iaitu tidak memihak kepada mana-mana mahupun kerajaan sendiri.

YDPA dan Majlis Raja-Raja ialah tiang seri amat mustahak di negara ini. Mereka harapan dan lambang perpaduan kerana bukan dipilih secara politik dan terkecuali daripada sebarang politik. Inilah antara sebab membolehkan Institusi Diraja berpotensi memainkan peranan tanpa mengenakan syarat berbanding parti politik yang setiap keputusannya, terikat dengan sentimen dan pertimbangan kepartian.

About J M Riaz

JM Riaz merupakan seorang wartawan hiburan yang gemar membuat liputan berita terkini di dunia. Dia bersemangat untuk membawa orang ramai yang terkini dan terhebat dalam hiburan. JM suka berinteraksi dengan pembacanya dan mendengar pendapat mereka tentang cerita terkini.

Read Previous

Pasaran Asia susut manakala harga minyak jatuh susulan penularan Covid-19

Read Next

Pendekatan ‘lain daripada lain’ dalam struktur eksekutif Kabinet baru Muhyiddin

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.