The Malaysia Post

“Harga Untuk Penat Lelah” – Amir Raja Lawak Respon Saman Fitnah Awesome TV

Kontroversi membabitkan stesen televisyen tempatan, Awesome Broadcasting Sdn Bhd atau lebih dikenali sebagai Awesome TV, terus menjadi bualan hangat apabila syarikat penyiaran tersebut mengesahkan telah memfailkan tindakan undang-undang terhadap tiga pelawak terkenal tanah air.

Awesome TV Fail Saman Fitnah Terhadap Tiga Pelawak Terkenal

Tiga individu yang dinamakan dalam saman tersebut ialah Mohamad Amirullah Azmi atau Amir Raja Lawak, Mohamad Ikhtiarudin Naina Mohamad (Mamak Puteh) dan Abu Musarrif Abu Bakar (Abu Mamu).

Menurut kenyataan rasmi Awesome TV, saman itu difailkan berikutan kenyataan yang didakwa berunsur fitnah telah dimuat naik di akaun media sosial peribadi ketiga-tiga selebriti tersebut. Kenyataan tersebut dikatakan membabitkan tuduhan kegagalan pihak stesen televisyen berkenaan melunaskan bayaran untuk penglibatan mereka dalam sebuah program yang disiarkan di saluran itu.

“Semua program di saluran kami diterbitkan sepenuhnya oleh syarikat produksi luar. Sebarang urusan kontrak dan pembayaran artis adalah tanggungjawab penuh pihak produksi berkenaan. Kenyataan yang dikeluarkan oleh ketiga-tiga individu ini telah menjejaskan imej dan reputasi Awesome TV,” jelas kenyataan itu.

Isu Tunggakan Bayaran Amir Raja Lawak Oleh Awesome TV Dibawa ke Parlimen, Tindakan Balas Diambil

Dalam kenyataan yang sama, pihaknya turut menegaskan bahawa isu yang sedang dibangkitkan di Parlimen oleh Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid, tidak ada penelitian fakta yang sewajarnya. Tindakan itu, kata Awesome TV, telah mencetuskan salah faham dan memberikan gambaran tidak tepat kepada umum.

“Sebagai seorang Ahli Parlimen, adalah menjadi tanggungjawab untuk memastikan setiap kenyataan yang dibuat berpandukan fakta yang benar. Mengeluarkan kenyataan tidak tepat hanya mengundang kekeliruan dan menjejaskan reputasi pihak terlibat,” tegas kenyataan tersebut.

Ekoran itu, pihak Awesome TV telah mengarahkan firma guaman Shafie & Co untuk memfailkan saman fitnah terhadap semua pihak yang terlibat demi melindungi integriti syarikat.

“Kami memandang serius sebarang tuduhan tidak berasas dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang cuba mencemarkan nama baik Awesome TV,” tambah mereka.

Amir Raja Lawak Jawab Isu Saman Fitnah Awesome TV & Tunggakan Bayaran RM18,000 Awesome TV

ayah amir raja lawak

Susulan kenyataan rasmi Awesome TV, Amir Raja Lawak tampil memberikan reaksi di akaun Facebook miliknya dengan mengucapkan “terima kasih” dalam nada yang dilihat sinis terhadap tindakan saman tersebut.

“Alhamdulillah. Terima kasih Awesome TV kalau ini harganya untuk penat lelah saya dan kami. Terima kasih banyak-banyak,” tulis Amir.

Amir turut menjelaskan bahawa beliau tidak dapat memberi sebarang komen lanjut kepada pihak media kerana sibuk menguruskan beberapa urusan peribadi, termasuk membawa bapanya ke unit kecemasan selepas mengalami masalah jahitan terbuka di bahagian perut.

“Telefon peribadi saya juga rosak dan SIM kad tidak berfungsi. Maaf kerana tidak dapat dihubungi. Selepas telefon baik nanti, saya akan jawab,” ujarnya.

Baca juga:

Latar Belakang Tuntutan Bayaran Tunggakan RM18,000 Awesome TV

Sebelum ini, Amir secara terbuka menuntut pembayaran tertunggak berjumlah RM18,000 daripada pihak stesen televisyen terbabit, melibatkan penglibatannya dalam sebuah program terbitan mereka. Menurutnya, tunggakan tersebut sudah berlarutan sekian lama tanpa penyelesaian.

Mamak Puteh turut tampil mendedahkan pengalaman serupa, mendakwa beliau telah menunggu bayaran yang dijanjikan selama lebih tiga tahun. Situasi ini menimbulkan persoalan dalam kalangan pemerhati industri hiburan mengenai pengurusan kewangan dan kontrak artis oleh syarikat penyiaran serta pihak produksi luar yang bekerjasama dengan stesen televisyen.

Kontroversi ini dijangka akan terus menjadi perhatian umum, khususnya apabila melibatkan isu reputasi, integriti, dan hak artis di Malaysia.

About Syaqiq Al Azdi

Syaqiq Al Azdi adalah seorang penulis laman web WordPress yang mahir
dengan pengalaman selama 5 tahun dalam menghasilkan kandungan yang
menarik dan mesra SEO. Mempunyai Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran
Perniagaan, Syaqiq menggabungkan kepintaran perniagaan dengan
pemahaman mendalam tentang penulisan web, memastikan kandungan
yang dihasilkan selaras dengan keperluan pengguna dan matlamat
perniagaan

Read Previous

Anwar Tegas Tarif AS Tidak Jejas Industri Semikonduktor Malaysia

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *