Gempa bumi bukan sekadar gegaran kecil yang berlaku sesekali, ia boleh datang tanpa amaran dan meninggalkan kesan yang sangat dahsyat. Dari kerosakan bangunan, kebakaran, tanah runtuh, hinggalah kepada tsunami, gempa bumi merupakan salah satu bencana alam paling berbahaya yang boleh berlaku di mana-mana sahaja.
Kita mungkin rasa Malaysia agak selamat kerana tidak berada di kawasan cincin api Pasifik, tapi itu tidak bermaksud kita tak perlu bersedia. Negara jiran kita seperti Indonesia, Filipina, dan Jepun sentiasa berdepan risiko ini, dan gegaran dari sana pun kadang-kadang boleh dirasai di Malaysia.
Jadi, apa sebenarnya yang perlu kita buat sebelum, semasa, dan selepas gempa bumi? Mari kita kupas satu per satu dengan bahasa mudah supaya senang difahami dan diamalkan.
Bersedia Sebelum Gempa Bumi
Masa terbaik untuk bersiap sedia ialah sebelum ia berlaku, sebab bila dah jadi bencana, semuanya berlaku terlalu cepat untuk kita fikir panjang.
1. Buat Pelan Kecemasan Gempa Bumi
- Rancang tempat berkumpul keluarga kalau terpisah.
- Simpan nombor telefon penting termasuk saudara-mara di luar kawasan terjejas.
- Ada kit kecemasan berisi makanan, air minuman, lampu suluh, bateri tambahan, wisel, ubat-ubatan asas, dan powerbank.
2. Simpan Barang Penting di Rumah
Pastikan barang berat atau mudah pecah seperti televisyen, cermin besar, peti sejuk, dan rak buku dipasang kukuh pada dinding. Jangan letak barang kaca atau berat di rak tinggi kalau jatuh masa gegaran, ia boleh mencederakan orang.
3. Pertimbangkan Insurans & Struktur Rumah Akibat Gempa Bumi
Kalau tinggal di kawasan risiko tinggi, pertimbangkan untuk ambil insurans gempa bumi. Selain itu, pastikan rumah dibina atau diubahsuai dengan struktur yang kukuh supaya tidak runtuh semasa gegaran.
Apa Perlu Buat Semasa Gempa Bumi?
Bila bumi mula bergoyang, panik memang tak dapat dielakkan. Tapi ada cara untuk pastikan kita kekal selamat.
- Kalau di dalam bangunan – Jangan lari keluar! Sebaliknya cari tempat perlindungan seperti meja yang kukuh, jauh dari tingkap.
- Kalau atas katil – Jangan cuba bangun, sebaliknya tutup kepala dan leher dengan bantal.
- Kalau dalam kereta – Berhenti di tepi jalan dengan selamat, jangan dekat dengan tiang atau jambatan.
Kalau di luar bangunan – Pergi ke kawasan lapang, jauh dari bangunan, pokok, dan kabel elektrik.
Ingat tiga langkah mudah ini: Jatuh, Tutup, Tahan (Drop, Cover, Hold On).
- Jatuh ke lantai supaya tak terhumban.
- Tutup kepala & leher dengan lengan, atau sembunyi bawah meja.
- Tahan meja atau objek kukuh supaya tidak teralih.
Selepas Gempa Bumi
Bila gegaran berhenti, jangan terus lega. Bahaya selepas gempa boleh jadi lebih besar.
- Hati-hati dengan gegaran susulan – ia biasanya lebih kecil tapi tetap berisiko.
- Jangan masuk bangunan yang retak atau rosak.
- Kalau terperangkap, jangan menjerit. Gunakan wisel atau ketuk paip untuk jimatkan tenaga.
- Kalau dekat kawasan pantai, lari ke tempat tinggi secepat mungkin sebab tsunami boleh berlaku.
- Dengar berita terkini melalui radio, TV, atau telefon bimbit untuk arahan pihak berkuasa.
Dan bila tiba masa untuk membersihkan kawasan selepas gempa, jangan lupa pakai pakaian pelindung. Jangan cuba angkat serpihan berat seorang diri, dan jauhkan kanak-kanak dari kerja-kerja pembersihan.
Baca juga:
- Pulau Pinang Selamat Walaupun Berlaku Gegaran Gempa Bumi
- Apa itu Teknologi HAARP. Adakah HAARP Mencipta Gempa Bumi?
Gempa bumi boleh berlaku bila-bila masa, dan walaupun kita tak boleh menghentikannya, kita boleh kurangkan risiko dengan persediaan awal.
Jadi, jangan tunggu sampai bencana berlaku baru nak bertindak. Sediakan kit kecemasan, buat pelan keselamatan, dan ajar ahli keluarga cara untuk bertindak semasa gempa. Ingat keselamatan bermula dari rumah.