The Malaysia Post

Gelombang ketiga akan berlaku sekiranya rakyat Malaysia masih berdegil patuhi arahan

Berdasarkan statistik terkini dari Perubatan Kesihatan Dunia (WHO), Itali kini mencatatkan hampir 3,000 kematian akibat COVID-19 menjadikan negara kedua paling tinggi selepas China. Manakala Indonesia mencatatkan kematian tertinggi di Asia Tenggara sebanyak 19 kes diikuti dengan Filipina sebanyak 14 kes.

Malaysia setakat ini mencatatkan dua kematian akibat COVID-19, walaupun merekodkan jumlah kes positif COVID-19 tertinggi di Asia Tenggara. Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin seolah-olah dipandang ringan oleh sesetengah pihak. Malah, ada yang masih tegar berada di kawasan awam seperti tiada apa-apa yang berlaku.

Lockdown Malaysia

Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan diumumkan, ramai yang meminta supaya kerajaan mengumumkan perintah darurat atau ‘lockdown’ seperti yang berlaku di Itali pada masa ini. Sehinggakan ada yang bertanya, kenapa tidak ‘lockdown’ terus?

Perintah lockdown bukanlah sesuatu yang boleh dilakukan sambil lewa. Apabila berlakunya lockdown, satu sekatan pergerakan atau dilakukan oleh kerajaan bagi menghalang orang ramai memasuki atau meninggalkan sesuatu kawasan atau bangunan. Lockdown juga bermaksud ianya akan menjejaskan sumber pendapatan mereka yang bekerja di sektor tertentu.

Perintah berkurung ‘lockdown’ di China diambil dengan serius oleh rakyat China

Tetapi tidak mustahil untuk kerajaan Malaysia mengumumkan lockdown ini jika melihat pada perkembangan semasa kini. Orang ramai masih lagi tidak memandang serius dengan arahan yang dikeluarkan malah tidak menghormati kakitangan hospital yang kini bermati-matian memerangi wabak ini.

Bukan sahaja mereka perlu bekerja lebih masa tetapi bekalan topeng muka dan lain-lain juga semakin berkurangan akibat peningkatan kes yang semakin tinggi. Mereka juga terpaksa berjauhna dengan keluarga sepanjang operasi ini bagi mengelakkan jangkitan kepada keluarga sendiri.

Gelombang ketiga lebih dahsyat

Kegagalan rakyat Malaysia untuk mengikuti Perintah Kawalan Pergerakan yang dikeluarkan boleh menyebabkan gelombang ketiga wabak ini muncul pada bila-bila masa sahaja. Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu kita mungkin menghadapi gelombang ketiga virus ini yang akan menjadi lebih besar seperti tsunami lebih-lebih lagi, jika kita mempunyai sikap ‘tidak kisah’.

Di dalam Perutusan Khas COVID-29 semalam, Perdana Menteri berkali-kali meminta orang ramai duduk di rumah sahaj dan tidak pulang ke kampung. Ucapan Muhyiddin Yassin itu ibarat seorang guru yang sudah penat menasihatkan pelajar-pelajar yang masih berdegil. Pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan dilakukan, beberapa peniaga di sebuah pasar masih tegar menjalankan perniagaan mereka. Ada juga yang masih keluar makan di tempat awam.

Belajar daripada China

China merupakan negara di mana wabak ini mula menular pada Disember lalu. Peningkatan drastik jangkitan wabak ini telah menyebabkan China menutup Wuhan daripada sebarang interaksi dengan dunia luar. Rakyat Wuhan tidak dibenarkan keluar mahupun masuk untuk satu tempoh masa yang lama.

Semua lapangan terbang dan pengangkutan awam yang lain dihentikan serta merta bagi menghalang orang ramai keluar daripada Wuhan. Semuanya selepas mereka mendapati wabak ini mempunyai penyebaran yang sangat pantas antara satu individu kepada individu yang lain.

Koronavirus di China menunjukkan penurunan. Tiada lagi jangkitan kes baharu domestik di China.

Langkah tersebut sedikit sebanyak membantu mengurangkan penularan wabak itu di mana kini China mengumumkan sudah mencapai puncak penyebaran di republik itu. Menurut seorang pakar respiratori terkenal China, penyakit berkenaan boleh dikawal sepenuhnya menjelang Jun nanti, jika semua negara mengambil pendekatan yang sama. Sekiranya semua negara mengambil langkah membendung wabak ini secara serius, penularan boleh ditamatkan dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Kes jangkitan COVID-19 di Wuhan dilaporkan mengalami penurunan selepas orang ramai mula mengasingkan diri mereka di rumah masing-masing dan mengikuti arahan yang dikeluarkan kerajaan. Itali yang merupakan negara kedua dengan kes paling tinggi sudah menjalankan perintah kuarantin selama 14 hari bagi membendung penularan wabak ini.

Keadaan hospital di Itali yang menghadapi kesukaran akibat peningkatan COVID-19

Itali merekodkan perubahan drastik dalam masa tiga minggu sahaja telah mencapai tahap 6 kini 35,713 orang sudah dijangkiti dengan wabak itu. Pada saat awal wabak ini dikesan di Itali, mereka merasakan ianya hanya simptom selsema yang biasa dan memandang ringan tentang hal tersebut.

Bagi membantu mengurangkan penularan wabak ini di Malaysia, kerjasama rakyat Malaysia memainkan peranan yang sangat penting dalam hal ini. Untuk dua minggu ini sahaja, duduklah di rumah dan patuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang dikeluarkan. Kita sama-sama bertanggungjawab untuk pastikan Malaysia bebas COVID-19.

Stay at home.

About J M Riaz

JM Riaz merupakan seorang wartawan hiburan yang gemar membuat liputan berita terkini di dunia. Dia bersemangat untuk membawa orang ramai yang terkini dan terhebat dalam hiburan. JM suka berinteraksi dengan pembacanya dan mendengar pendapat mereka tentang cerita terkini.

Read Previous

COVID-19: Pembawa lebih bahaya dari pesakit

Read Next

WHO: Ujian klinikal vaksin pertama novel koronavirus bermula

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.