Syarikat penerbangan jarak dekat premium Malaysia, yakin dapat mengemudikan penerbangan domestik tahun ini walaupun berada dalam kegusaran wabak koronavirus (Covid-19) yang mengakibatkan sekatan perjalanan di beberapa negara tertentu.
Ketua Pegawai Eksekutif, Philip See berkata pengendali pesawat jenis ‘turboprop’ itu berhasrat untuk membawa lebih ramai penumpang tahun ini daripada kira-kira 1.5 juta kepada 2.0 juta penumpang yang dibawa tahun lepas.
“Kami memberi lebih tumpuan kepada pasaran persiaran (leisure) dan percaya kesedaran mengenai destinasi (laluan) kami akan terus disokong oleh Tourism Malaysia.
“Kami juga akan terus memberi tumpuan kepada perjalanan perniagaan, sekali gus mencari para pelanggan dari segmen ini untuk tujuan persiaran,” katanya dalam satu acara pelancaran kempen Visit Malaysia 2020 (Firefly2020) dengan Firefly, di sini, hari ini.
Kempen ini melibatkan pameran logo VMY2020 pada semua luar badan pesawat Firefly dan pelbagai produk pelancongan negeri di bahagian ruangan dalaman atas dan dulang makanan di beberapa pesawat.
Philip See percaya pasaran bisnes akan pulih dengan cepat apabila orang mula melancong dan mendapatkan semula keyakinan mereka.
“Orang gemar melancong dengan menaiki pesawat jenis turboprop. Ia juga membolehkan kami melakukan kekerapan penerbangan yang tinggi dan menawarkan lebih banyak pilihan penerbangan untuk pelanggan,” katanya.
See berkata pesawat jenis turboprop membolehkan Firefly membuka pasaran baru yang tidak dapat diakses oleh pesawat yang agak besar.
“Kami memperkenalkan laluan Pulau Pinang-Kuantan dan Kota Bahru-Johor Bahru tahun lalu. Ini merupakan pasaran yang belum cukup matang untuk pesawat yang besar tetapi pesawat kecil seperti ‘turboprop’ dapat dilaksanakan dan melakukan perhubungan,” katanya.
Firefly menawarkan 600 penerbangan setiap minggu untuk 14 laluan utama yang tersedia di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kota Bahru, Singapura dan Langkawi.
Firefly juga kini mengendalikan 12 pesawat ‘turboprop’ ATR 72-500 dari Pulau Pinang dan Subang, menghubungkan destinasi kedua di Indonesia-Malaysia-Thailand serta antara Malaysia dan Singapura.