KUALA LUMPUR, 9 Mei 2025 – Hasrat untuk muncul sebagai juara dunia dan menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik dunia tidak boleh hanya sekadar retorik tanpa usaha yang bersungguh-sungguh, itu kata-kata nasihat yang berunsur tegas yang disampaikan oleh legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek, kepada generasi baharu pemain badminton Malaysia.
Pemain Badminton Perlu Usaha Kuat Jika Mahu Jadi Juara Dunia
Rashid berkata, kejayaan di peringkat tertinggi tidak akan tercapai sekiranya pemain hanya pandai berbicara tetapi tidak menunjukkan dedikasi sepenuhnya ketika menjalani latihan atau ketika beraksi di gelanggang.
“Ramai yang bercita-cita untuk berada dalam kelompok elit dunia, namun sayangnya semangat itu hanya di bibir. Bila tiba masa latihan, usaha tidak seiring dengan kata-kata.
Saya bukan mahu menyatakan pemain zaman sekarang manja, tetapi persoalannya ialah di manakah letaknya matlamat mereka?” ujar Rashid ketika ditemui selepas menerima Anugerah Ikon Sukan sempena Majlis Anugerah Sukan Universiti Malaya, malam tadi.
Baca juga:
- Aaron-Wooi Yik memenangi gelaran Badminton Dunia pertama Malaysia
- TOP 5 Pemain Badminton Paling Terbaik di Malaysia
Strategi dan Semangat Juang Kunci Kejayaan di Piala Thomas 2026 – Rashid Sidek
Mengulas mengenai prestasi skuad negara, Rashid optimis Malaysia mampu mencabar gelaran juara dalam saingan Piala Thomas 2026, asalkan perancangan rapi digerakkan dan komitmen setiap pemain ditingkatkan.
Beliau percaya dengan gabungan barisan pemain yang berpotensi besar, termasuk tiga pasangan beregu lelaki yang kukuh, peluang Malaysia cukup cerah.
“Kita sudah mempunyai tiga beregu lelaki yang berdaya saing. Jika pemain perseorangan utama seperti Lee Zii Jia mampu menyumbang satu mata, kita hanya perlukan satu lagi mata daripada pemain seperti Justin Hoh atau Leong Jun Hao.
Kalau kita ada empat kekuatan utama, walaupun satu tewas, baki tiga masih boleh menjamin kemenangan. Strategi yang betul sangat penting dalam kejohanan seperti ini.”
Beliau turut berkongsi detik manis ketika perlawanan Piala Thomas pada tahun 1992, semasa Malaysia berjaya menewaskan Indonesia 3-2 di Stadium Negara, hasil mata yang diraih melalui dua perseorangan dan satu beregu negara.
Pengiktirafan Ikon Sukan Dorong Terus Sumbangan kepada Badminton Negara
Mengulas lanjut mengenai pengiktirafan yang diterima, beliau menyatakan penghargaan tersebut merupakan suntikan semangat untuk dirinya terus menyumbang bakti kepada pembangunan sukan badminton di Malaysia.
“Saya akan terus aktif dalam bidang ini, terutamanya sebagai jurulatih. Pengalaman yang saya miliki akan dikongsi bersama pemain muda yang berhasrat untuk maju dalam karier badminton,” katanya.
Pengiktirafan tersebut disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Anesee Ibrahim, sebagai penghormatan atas sumbangan Rashid yang berterusan dalam membangunkan sukan tanah air.