Lagu ikonik ‘Anta Permana’ nyanyian biduanita tersohor negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, telah mencipta satu lagi sejarah apabila disenaraikan dalam playlist peribadi Raja Charles III di platform Apple Music.
Perkara ini diumumkan menerusi hantaran di media sosial rasmi The Royal Family, di mana baginda berkongsi senarai lagu kegemarannya bersempena Hari Negara-Negara Komanwel. Pemilihan ini sekali gus membuktikan pengaruh besar Siti Nurhaliza dalam dunia muzik antarabangsa serta bagaimana karyanya turut dihargai oleh pemimpin berprofil tinggi seperti Raja Britain.
Playlist Raja Charles III: ‘Anta Permana’ Nyanyian Siti Nurhaliza Satu-Satunya Lagu Melayu Terpilih!
Dalam hantaran tersebut, Raja Charles III menyatakan hasratnya untuk berkongsi lagu-lagu yang membawa kebahagiaan dalam hidupnya. Baginda menekankan bahawa lagu-lagu tersebut merangkumi pelbagai gaya dan budaya yang berbeza, namun tetap mencerminkan semangat perpaduan seperti yang wujud dalam keluarga negara-negara Komanwel. Menurut baginda, lagu-lagu ini, dalam cara yang tersendiri, berkongsi kecintaan yang sama terhadap kehidupan, keindahan, serta keharmonian beragama.
Kenyataan daripada Raja Charles III ini jelas menunjukkan penghargaan baginda terhadap kepelbagaian muzik dan seni dari serata dunia, termasuk dari Malaysia.
Baca lagi | Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza
Playlist Peribadi Raja Charles III di Apple Music
Senarai lagu kegemaran Raja Charles III kini boleh didengarkan di Apple Music di bawah tajuk “His Majesty King Charles III’s Playlist”. Senarai ini menghimpunkan lagu-lagu dari pelbagai era dan genre, termasuk pop, reggae, klasik, dan tradisional.
Menariknya, ‘Anta Permana’ yang merupakan hasil ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong, adalah satu-satunya lagu berbahasa Melayu yang tersenarai dalam playlist baginda. Lagu ini sebelum ini pernah menjadi fenomena apabila ia mendapat jutaan tontonan di YouTube dan menjadi siulan ramai di Malaysia serta negara jiran.
Selain Siti Nurhaliza, antara artis lain yang turut dipilih dalam senarai ini termasuklah Bob Marley, Kylie Minogue, Beyoncé, dan Michael Bublé. Berikut adalah senarai penuh playlist pilihan Raja Charles III:
- Bob Marley & The Wailers – Could You Be Loved
- Millie Small – My Boy Lollipop
- Kylie Minogue – The Loco-Motion
- Al Bowlly – The Very Thought of You
- Grace Jones – La Vie En Rose
- Raye – Love Me Again
- Daddy Lumba – Mpempem Do Me
- Davido – Kante (feat Fave)
- Miriam Makeba – The Click Song
- Jools Holland & Ruby Turner – My Country Man
- Anoushka Shankar – Indian Summer
- Siti Nurhaliza – Anta Permana
- Dame Kiri Te Kanawa – E Te Iwi E (Call to the People)
- Michael Bublé – Haven’t Met You Yet
- Arrow – Hot Hot Hot
- Beyoncé – Crazy in Love (feat Jay-Z)
Baca lagi | Siti Nurhaliza Tetap Teruskan Konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza
Reaksi Peminat dan Kejayaan Siti Nurhaliza di Peringkat Antarabangsa
Berita ini mendapat reaksi positif daripada peminat Siti Nurhaliza, yang menganggap pemilihan ini sebagai satu penghormatan besar terhadap industri muzik Malaysia. Banyak peminat mengungkapkan rasa bangga di media sosial kerana lagu Melayu kini mendapat tempat di peringkat antarabangsa.
Ini bukan kali pertama Siti Nurhaliza mendapat pengiktirafan global. Sebelum ini, beliau pernah membuat persembahan di Royal Albert Hall, London, menerima pelbagai anugerah antarabangsa dan diiktiraf sebagai antara artis wanita paling berpengaruh di Asia.
Dengan pemilihan ‘Anta Permana’ dalam playlist Raja Charles III, nama Siti Nurhaliza sekali lagi membuktikan bahawa muzik tidak mengenal sempadan. Lagu ini bukan sahaja menawan hati rakyat Malaysia tetapi juga pemimpin dunia.
Tahniah kepada Dato’ Sri Siti Nurhaliza atas pencapaian luar biasa ini!