The Malaysia Post

Cubaan rampas pemerintahan politik kotor – Syed Badli

Cubaan merampas pemerintahan yang ditubuhkan secara demokratik jelas mengkhianati mandat rakyat sekali gus adalah permainan politik kotor dan keji.

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Syed Badli Shah Syed Osman ketika mengulas perkembangan mutakhir politik di negara ini berkata, pihaknya maklum terdapat cubaan menubuhkan kerajaan pintu belakang bersama pihak pembangkang.

Menurutnya, tindakan itu adalah perbuatan yang keji dan khianat.

“Saya berasa begitu kecewa dengan tindakan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dilihat terlibat dengan gerakan untuk merosakkan gabungan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Justeru, saya menyarankan pimpinan PKR memecat keahlian Azmin Ali dan semua ahli parti yang terlibat dalam gerakan keji ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pembangkang yang terlibat secara langsung seharusnya bersabar sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan dan bukannya merampas kuasa dengan cara keji serta licik.

Menurutnya, merampas kuasa dengan jalan songsang meletakkan mereka yang terlibat sebagai tidak bermaruah dan tiada jati diri.

“Anggota PKR yang terlibat secara langsung dengan usaha ini telah melanggar etika parti dengan cubaan mensabotaj keharmonian parti.

“Tiada maaf bagi mereka yang khianat dalam perjuangan dan golongan ini tidak harus diberi tempat di mana-mana,” katanya.

About Aiman Hakim

cf101fe1d9938c321c3d7c1a070bbab3bb0a4096186500eca99cae258b0c050d?s=90&d=mm&r=gAiman Hakim ialah seorang penganalisis politik dan wartawan yang meliputi politik Malaysia serta hubungan serantau ASEAN. Beliau memberikan laporan yang jelas mengenai dasar kerajaan, kerjasama serantau, dan bagaimana perkembangan antarabangsa mempengaruhi kedudukan Malaysia di Asia Tenggara.

Read Previous

Agong lantik Mahathir sebagai Perdana Menteri interim

Read Next

Amanah berpegang teguh kepada muafakat Majlis Presiden PH

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *