Langkah kerajaan mengenakan kawalan pergerakan adalah tepat. Di samping kerajaan perlu bertindak segera dalam membantu meredakan keresahan rakyat khususnya dalam aspek kelangsungan hidup golongan B40.
Covid-19 berpotensi melumpuhkan ekonomi sesebuah negara apatah lagi rakyat yang berpendapatan rendah. Atas sebab itu, kerajaan perlu segera bertindak dalam meredakan keresahan dengan memperkenalkan inisiatif-inisiatif strategik.
Berikut adalah antara inisiatif yang boleh diambil oleh kerajaan.
1. Memperluas penggunaan skim barang kawalan iaitu Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) diguna pakai dalam tempoh wabak ini dan beberapa bulan lepas wabak ini dapat diatasi.
Inisiatif ini mampu memberi impak positif kepada setiap lapisan masyarakat khususnya mereka yang berpendapatan rendah @B40.
Di masa yang sama peniaga yang menyorok barang untuk tujuan menaikkan harga atau peniaga yang ingkar dengsn kawalan harga ini wajar dikenakan hukuman keras seperti penjara.
2. Mempertimbangkan untuk menurunkan harga minyak kepada RM1.00 ke RM1.50 seliter. Inisiatif mampu memberi impak besar kepada ekosistem perekonomian domestik negara.
Kerajaan perlu mempertimbangkan untuk memberi subsidi harga minyak bagi memboleh kadar harga tersebut direalisasikan sekiranya harga pasaran terbuka tidak turun ke paras seperti disarankan di atas.
Inisiatif ini akan memberi kesan positif yang cukup besar khususnya berkaitan kos pengeluaran barangan, perkhidmatan pengangkutan dan kemuncaknya kos sara hidup rakyat di semua peringkat dapat diturunkan.
3. Mempertimbangkan untuk memberi insentif bersesuaian bagi institusi kewangan yang bersedia memberi menangguhkan bayaran kepada semua bentuk pinjaman untuk tempoh selama 6 bulan ke 1 tahun iaitu memgikut kesesuaian.
Insiatif ini pasti melegakan rakyat yang cukup tertekan khususnya buat mereka yang hilang pekerjaan atau diarahkan bercuti tanpa gaji untuk beberapa bulan.
Kerajaan boleh memberi insentif seperti pengurangan cukai korporat atau rebat atau yang bersesuaian kepada institusi kewangan yang terlibat.
4. Mempertimbangkan agar KWSP mempermudahkan urusan rakyat untuk mengeluarkan simpanan dari Akaun 2.
Di samping itu membenar sebahagian kecil caruman dari Akaun 1 dipindahkan ke Akaun 2 bagi membolehkan pencarum yang mempunya baki yang sangat sedikit di Akaun 2.
Sehubungan dengan itu KWSP wajar diberi keutamaan untuk mempunyai kepentingan dalam pelaburan-pelaburan stratefik negara.
6. Mempertimbangkan agar KWAP menyalurkan bantuan kepada penjawat awam yang amat memerlukan.
Jumlah bantuan disalurkan itu boleh dipotong semula apabila keadaan telah pulih. Perkara ini boleh dilakulan dengan cara pengurangan kadar pencen sebenar yang bakal diberikan lepada pesara tetapi peratus pengurangan itu perlu benar-benar kecil khususnya untuk golongan B40.
Inisiatif serupa boleh dilakukan kepada mereka sememangnya telah berpencen. KWAP boleh mempertimbangkan kadar yang sesuai demi meringankan kos sara hidup dan perubatan pesara.
Pemberian bersifat upfront ini boleh diselaraskan kembali kepada kadar asal dengan mengurangkan pemberian pencen bulanan secara minimum pada bulan-bulan selepas keadaan kembali stabil.
Untuk itu KWAP juga sewajarnya diberi keutamaan untuk memiliki kepentingan dalam projek-projek berkeuntungan besar negara.
7. Mempertimbangkan dan menyarankan syarikat pengelola Private Retirement Scheme (PRS) membenarkan sebahagian dari caruman atau dana telah terkumpul dikeluarkan oleh pencarum yang memerlukan walaupun pencarum belum mencapai had umur yang dibolehkan untuk membuat pengeluaran.
Untuk itu sewajarnya kerajaan mempertimbangkan insentif bersifat pengurangan cukai korporat atau rebat atau lain-lain yang lebih baik.
8. Mempertimbangkan untuk menyarankan penyedia perkhidmatan pengangkutan awam memberi diskaun atas perkhidmatan yang mereka sediakan.
Penurunan harga minyak seperti disarankan di atas pasti mampu membantu syarikat pengangkutan awam kekal kompetitif.
Inisiatif ini diyakini mampu meringankan kos sara hidup rakyat khususnya miskin bandar. Pastinya inisiatif ini memberi kelegaan kepada jutaan rakyat berpendapatan rendah yang saban hari menaiki pengangkutan awam seperti bas dan keretapi.
9. Mempertimbangkan dan menyarankan hospital swasta menerima dan memberi diskaun yang tinggi dalam merawat pesakit tanpa insuran khususnya buat mereka dari kalangan B40. Jika tidak secara tanpa had, kuota atau peratus tertentu boleh diberikan berdasarkan jumlah katil yang dimiliki oleh hospital itu.
Dengan kata lain, rawatan ini meliputi semua jenis penyakit. Untuk itu, hospital boleh diberi insentif bersifat pengurangan cukai korporat atau rebat atas bantuan yang mereka salurkan.
10. Mempertimbangkan dan menyarankan syarikat insuran membiayai kos perubatan khususnya untuk polisi yang mahukan pemilik polisi membayar dahulu bil perunatan mereka.
Saranan ini bukan merujuk kepada penyakit berkaitan COVID 19 sahaja tetapi semua rawatan kesihatan yang berkaitan.
Untuk komitmen yang diberikan, kerajaan boleh mempertimbangkan insentif berkaitan pengurangan cukai korporat atau rebat atau lain-lain yang lebih menarik.
11. Mempertimbangkan menyarakan agar syarikat utiliti seperti pembekal elektrik, telekomunikasi, dan air memberi diskaun kepada rakyat.
Usaha ini wajar juga disambut sama oleh syarikat penyiaran program televisyen berbayar.
Seperti saranan terdahulu, insentif pengurang cukai korporat atau rebat atau lain-lain yang lebih menarik yang boleh diberikan oleh kerajaan kepada syarikat-syarikat yang terlibat.
12. Kerajaan boleh juga melancarkan Tabung Wabak Covid-19.
Tabung ini adalah satu platform untuk membolehkan rakyat Malaysia yang berkemampuan membantu rakyat Malaysia lain yang terkesan teruk akibat wabak ini.
Dana yang dikumpul boleh digunakan untuk membeli bekalan makanan buat rakyat khususnya B40 yang begitu memerlukan.
Di masa sama pusat-pusat zakat, masjid-masjid, dan NGO di seluruh negara perlu lebih aggresif dalam mengumpul dana dan mengenalpasti rakyat khususnya orang Islam yang teruk terkesan untuk dibantu.
Usaha serupa boleh dilakukan oleh institusi agama dan NGO bangsa Cina dan India.
Sekiranya dana yang dikumpul itu banyak contohnya yang dikumpul oleh masjid-masjid melebihi dari keperluan umat Islam, maka ia boleh disalurkan kepada orang bukan Islam yang memerlukan.
Sesungguhnya kemiskinan tidak pernah kenal apa itu bangsa dan agama. Miskin adalah miskin.
Kesimpulan
Adalah menjadi harapan rakyat agar kerajaan mempertimbang dan memperhalusi 12 saranan di atas. Saranan tersebut dibuat demi memastikan kebajikan rakyat khususnya B40 terbela.
Covid-19 lebih dari sekadar kawalan pergerakan. Ia adalah ujian kesabaran buat setiap insan kepada Penciptanya, ujian kebijaksanaan dan keprihatinan pemimpin kepada rakyat, ujian kecekapan negara dalam menghadapi bencana, ujian kejujuran dan keikhlasan agensi dan syarikat berkepentingan awam kepada pencarum atau pelanggannya, dan ujian akan kesatuan hati seluruh rakyat Malaysia atas faktor kesudian untuk saling bantu-membantu di antara satu sama lain iaitu tanpa mengira agama dan bangsa.
Bersatulah semua, bersama kita memerangi Covid-19.