Classita Holdings Bhd hari ini membuat pemgumuman besar mengenai pelantikan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif. Pelantikan tokoh berprofil tinggi ini berkuat kuasa serta merta dan disifatkan sebagai langkah strategik yang akan memperkukuh tadbir urus korporat, meningkatkan keyakinan pemegang saham, dan mengukuhkan reputasi Classita sebagai syarikat yang komited terhadap pembangunan berimpak sosial.
Tan Sri Razarudin Husain Kini Pengerusi Bukan Eksekutif Classita Holdings Bhd
Menurut kenyataan rasmi syarikat, keputusan ini turut bertepatan dengan kemunculan NexG Bhd sebagai pemegang saham terbesar selepas berjaya mengambil alih 32.61 peratus pegangan ekuiti Classita. Perubahan ini menandakan bermulanya era baharu dalam hala tuju korporat syarikat, dengan penekanan terhadap pertumbuhan mampan, pengembangan portfolio, dan penyusunan semula struktur kepimpinan.
Pengalaman dan Nilai Tambah Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain
Melalui pengalaman lebih empat dekad beliau semasa berada dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan jawatan tertinggi sebagai Ketua Polis Negara, ia memberikan Razarudin keupayaan unik dalam memahami cabaran masyarakat, khususnya aspek kebajikan dan keperluan penjawat awam.
Kepakaran beliau dalam mengurus organisasi berskala besar dan latar belakang dalam pengurusan keselamatan serta kepimpinan strategik dilihat sebagai nilai tambah kepada Classita. Pelantikan ini juga menunjukkan keazaman syarikat untuk menggabungkan perspektif kepimpinan awam dengan keupayaan sektor korporat bagi mencapai impak sosial yang lebih luas.
Classita Rancang Projek Perumahan Mampu Milik untuk Anggota Polis
Salah satu inisiatif utama yang bakal direalisasikan di bawah kepimpinan baharu ini ialah rancangan pembinaan projek perumahan mampu milik khusus untuk anggota Koperasi Polis Diraja Malaysia (KPDRM). Projek ini akan dibangunkan di atas tanah milik Classita di Ulu Kelang, Selangor.
Menurut Tan Sri Razarudin, usaha ini bukan sekadar projek pembangunan hartanah, tetapi merupakan satu komitmen sosial untuk meningkatkan taraf hidup anggota polis dan keluarga mereka.
“Inisiatif ini bukan sekadar projek hartanah, tetapi langkah bermakna yang memacu nilai sosial. Ia mewujudkan penyelesaian saling menguntungkan, meningkatkan taraf hidup mereka yang berkhidmat untuk negara, sambil menyelaraskan masa depan Classita dengan pembangunan bertanggungjawab secara sosial,” kata Razarudin.
Baca juga:
- Pelantikan AG Ahli Parlimen Masih Dipertikai
- Anwar Bertemu Agong Bincang Pelantikan Timbalan Menteri
Pelantikan Razarudin Husain Kukuhkan Tadbir Urus dan Strategi Classita
Sebagai sebahagian daripada pelan penstrukturan semula, Ng Keok Chai, yang sebelum ini memegang jawatan Pengerusi Eksekutif, telah dilantik semula sebagai Pengarah Eksekutif. Beliau akan terus memainkan peranan penting dalam pelaksanaan projek-projek strategik dan memastikan kelancaran pembangunan perniagaan selaras dengan hala tuju baharu syarikat.
Pelantikan dan penyusunan semula ini dilihat sebagai tanda kesediaan Classita untuk memasuki fasa pertumbuhan yang lebih kompetitif, dengan gabungan kepimpinan korporat berpengalaman dan pandangan strategik daripada tokoh berwibawa negara.