The Malaysia Post

Bayi maut dalam kebakaran, ditinggal sendirian di rumah

Seorang bayi perempuan berusia 10 bulan ditemui maut dalam kebakaran di rumahnya di Kampung Banghulu, Gemas, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 11.38 pagi itu, Siti Nur Aini Zulimi ditemui meninggal dunia dengan keadaan melecur 30 peratus dalam buaian elektrik di ruang tamu rumah terbabit.

Ketua Balai Bomba Gemas, Mohd Farid Abu Bakar berkata, ketika kejadian, bayi berkenaan tinggal berseorangan di rumah berkenaan selepas ibunya pergi ke pekan Gemas.

“Ibu bayi itu ada urusan di bandar dan meninggalkan pesan kepada jirannya untuk membantu melihat anaknya jika menangis.

“Bomba terima panggilan daripada seorang penjual ikan yang memaklumkan berlaku kebakaran di rumah mangsa apabila ternampak kepulan asap,” katanya.

Menurutnya, dua jentera dari Balai Bomba Gemas dan Gemencheh berserta 16 anggota ke lokasi untuk memadam kebakaran.

Beliau berkata, bomba berjaya mengawal kebakaran yang berlaku di ruang tamu rumah itu daripada merebak yang hanya menyebabkan kemusnahan 60 peratus.

“Sebaik api berjaya dipadamkan seorang bayi perempuan ditemui sudah meninggal dunia dengan keadaan badannya melecur 30 peratus di dalam buaian di ruang tamu.

“Namun punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

Sementara itu Timbalan Ketua Polis Daerah Tampin, Deputi Superintendan Ahmad Pilus Zainal mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut masih dilakukan.

Katanya, polis masih menyiasat sama ada kejadian berlaku mempunyai unsur khianat atau bencana.

About J M Riaz

JM Riaz merupakan seorang wartawan hiburan yang gemar membuat liputan berita terkini di dunia. Dia bersemangat untuk membawa orang ramai yang terkini dan terhebat dalam hiburan. JM suka berinteraksi dengan pembacanya dan mendengar pendapat mereka tentang cerita terkini.

Read Previous

MH370: Tiada bukti sokong teori kaitkan MH370 dengan bunuh diri

Read Next

Dua pengadil wanita serikan saingan Liga Malaysia buat pertama kali

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.