The Malaysia Post

Anwar Ibrahim Umum 5 Inisiatif Rakyat Termasuk Bantuan SARA RM100

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyampaikan satu pengumuman penting yang menyentuh terus kehidupan segenap lapisan rakyat Malaysia pada pukul 10.30 pagi hari ini. Dalam sebuah inisiatif yang disifatkan sebagai bersejarah, kerajaan memperkenalkan beberapa langkah strategik di bawah “Pengumuman Penghargaan Perdana Menteri” sebagai tanda penghargaan kepada rakyat atas semangat kebersamaan dalam membina negara.

Antara pengumuman utama yang menarik perhatian ialah pemberian bantuan tunai one-off kepada semua rakyat dewasa, cuti umum tambahan sempena Hari Malaysia, peluasan Jualan Rahmah MADANI, tiada kenaikan tol serta penurunan harga petrol RON95, langkah-langkah yang dijangka memberi kesan langsung terhadap kos sara hidup rakyat.

Ini 5 Inisiatif Rakyat Dalam Pengumuman Anwar Ibrahim

1. Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 Untuk Semua Rakyat Dewasa

Kerajaan mengumumkan pemberian Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 secara one-off kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas, tanpa mengira pendapatan atau latar belakang sosioekonomi. Ini merupakan kali pertama dalam sejarah Malaysia bantuan tunai diberikan kepada seluruh rakyat dewasa secara menyeluruh.

Pemberian ini akan disalurkan secara automatik melalui MyKad dan boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan asas di lebih 4,100 premis berdaftar di seluruh negara. Tempoh penggunaan bantuan ini bermula dari 31 Ogos hingga 31 Disember 2025.

Langkah ini dilihat sebagai antara usaha kerajaan untuk meringankan beban rakyat yang terkesan akibat ketidaktentuan ekonomi global dan peningkatan kos sara hidup.

2. Isnin, 15 September 2025 Sebagai Cuti Tambahan Sempena Hari Malaysia

Dalam semangat perpaduan dan sebagai penghargaan terhadap semangat kebangsaan, Perdana Menteri mengumumkan hari Isnin, 15 September 2025 sebagai cuti umum tambahan bersempena Sambutan Hari Malaysia.

Perdana Menteri menjelaskan bahawa cuti ini bukan sahaja simbolik, tetapi merupakan pengiktirafan kepada semua warga Malaysia yang memainkan peranan dalam memperkukuh perpaduan nasional. Cuti tambahan ini akan memberikan peluang kepada rakyat untuk menyambut Hari Malaysia bersama keluarga dan komuniti, di samping menggalakkan aktiviti pelancongan domestik.

3. Penurunan Harga Petrol RON95 Kepada RM1.99 Seliter

Penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter turut diumumkan Anwar Ibrahim dan ia akan dilaksanakan melalui pendekatan penyasaran subsidi petrol. Hal ini selari dengan strategi kerajaan untuk mengoptimumkan perbelanjaan negara serta memastikan subsidi sampai kepada kumpulan sasar sebenar.

Langkah ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 18 juta pengguna kenderaan bermotor, termasuk penunggang motosikal, golongan belia, serta pekerja sektor gig. Penurunan ini akan membantu mengurangkan perbelanjaan harian rakyat, sekali gus merangsang ekonomi domestik.

Menurut Perdana Menteri, mekanisme pelaksanaan dan perincian subsidi ini akan diumumkan selewat-lewatnya akhir September 2025. Walau bagaimanapun, kerajaan memberi jaminan bahawa rakyat biasa tidak akan terkesan, manakala warga asing perlu membayar harga pasaran sebenar.

4. Peruntukan Jualan Rahmah MADANI Dinaikkan kepada RM600 Juta

Sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan akses barangan asas pada harga mampu milik, peruntukan bagi Jualan Rahmah MADANI telah digandakan kepada RM600 juta yang akan diperluaskan ke kesemua 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Langkah ini memberi peluang kepada rakyat di kawasan luar bandar dan bandar kecil untuk menikmati harga diskaun bagi barangan asas seperti beras, minyak masak, telur dan makanan kering.

Baca juga:

5. Tiada Kenaikan Tol di 10 Lebuh Raya Utama Negara

Dalam usaha berterusan membantu rakyat mengurangkan kos perjalanan harian, kerajaan turut mengekalkan kadar tol tanpa sebarang kenaikan untuk 10 lebuh raya utama di seluruh negara. Peruntukan sebanyak RM500 juta telah disediakan untuk menampung kos ini, sekaligus membolehkan rakyat terus menikmati kemudahan jalan raya tanpa beban tambahan.

Pengumuman ini memperlihatkan iltizam kerajaan MADANI dalam membina negara yang seimbang antara pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Kesemua inisiatif yang diumumkan adalah sebahagian daripada pendekatan menyeluruh untuk memastikan bahawa manfaat hasil negara dapat dirasai secara langsung oleh rakyat.

About Syaqiq Al Azdi

Syaqiq Al Azdi adalah seorang penulis laman web WordPress yang mahir
dengan pengalaman selama 5 tahun dalam menghasilkan kandungan yang
menarik dan mesra SEO. Mempunyai Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran
Perniagaan, Syaqiq menggabungkan kepintaran perniagaan dengan
pemahaman mendalam tentang penulisan web, memastikan kandungan
yang dihasilkan selaras dengan keperluan pengguna dan matlamat
perniagaan

Read Previous

Belum Sedia Gantung Kasut, Cristiano Ronaldo Sasar Kasut Emas dan Trofi Piala Dunia 2026

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *