Penceramah motivasi dan pendakwah bebas, Akhi Fairuz Al-Jengkawi tampil mempertahankan dirinya selepas namanya dikaitkan dalam siasatan awam berkait kematian tragik seorang pelajar perempuan, Allahyarhamah Zara Qairina. Isu ini timbul susulan satu hantaran tular oleh saluran Telegram “Edisi Siasat” yang mendakwa beliau terlibat dalam sesi ceramah berkaitan jenayah seksual di sekolah mangsa.
Edisi Siasat Fitnah Akhi Fairuz Beri Ceramah Kes Zara Qairina
Dalam satu kenyataan tegas melalui Instagram Story, Akhi Fairuz menolak sepenuhnya dakwaan tersebut dan menegaskan bahawa beliau tidak terlibat dalam mana-mana program ceramah di sekolah terbabit sepanjang tahun 2025. Sebaliknya, beliau hanya pernah menyampaikan ceramah pada tahun 2023, iaitu dua tahun sebelum insiden menyayat hati ini berlaku.
“Saya ceramah di sekolah berkenaan 2 tahun lepas, 2023, anjuran Majlis Guru Kaunseling di sana. Bukan sekolah berkenaan je, tapi di sekolah lain juga. Arwah Adik Zara pun masih darjah 5 masa tu. Tak eloklah semua benda nak dikaitkan.” – Jelas Akhi Fairuz.
Fitnah Ceramah Kes Zara Qairina: Penjelasan Lengkap Akhi Fairuz Disertakan Bukti Lokasi & Tarikh
Untuk memperkukuh penjelasannya, Akhi Fairuz turut berkongsi bukti berbentuk tangkap layar jadual aktivitinya yang jelas menunjukkan lokasi sebenar ceramah beliau pada tarikh-tarikh tertentu pada tahun 2023. Tiada sebarang sesi berkaitan jenayah seksual yang dikendalikan beliau di sekolah tersebut pada tahun semasa (2025) seperti yang didakwa.
Dalam laporan Telegram Edisi Siasat, kenyataan yang mencetuskan kekeliruan berbunyi: “Ceramah berkaitan jenayah seksual telah dijalankan oleh penceramah luar (Akhi Fairuz Al-Jengkawi)…”. Namun tiada maklumat lanjut yang menyatakan secara tepat tarikh sesi tersebut diadakan mahupun bukti pengesahan daripada pihak sekolah.
Tuduhan Tidak Berasas Boleh Jejaskan Reputasi Akhi Fairuz
Pihak Awam dan netizen diseru agar lebih berhati-hati dalam menyebarkan sebarang maklumat, apatah lagi yang berkait kes sensitif melibatkan pelajar dan kematian. Menurut Akhi Fairuz, sebarang bentuk dakwaan yang tidak disokong bukti kukuh bukan sahaja mencemarkan nama baik seseorang, bahkan boleh menyebabkan trauma psikologi kepada keluarga mangsa dan individu yang dikaitkan secara salah.
Baca juga:
- AGC Pulangkan Siasatan Kes Kematian Zara Qairina
- Penyanyi Iman Troye Dedah Ibu Bapa Terima Ugutan Bunuh
Hormati Proses Undang-Undang, Elak Fitnah Terbuka
Dalam situasi penuh emosi seperti ini, masyarakat diingatkan untuk tidak mengambil alih peranan pihak penyiasat. Setiap individu yang dikaitkan dalam kes berprofil tinggi wajar diberi ruang untuk menjelaskan kedudukan sebenar mereka. Proses undang-undang dan siasatan profesional perlu dihormati, dan sebarang dakwaan tanpa asas boleh membawa kepada tindakan undang-undang di bawah akta fitnah atau jenayah siber.
Kes kematian mangsa buli Zara Qairina yang sedang disiasat itu masih belum mencapai kesimpulan rasmi. Sementara menanti keputusan akhir siasatan, semua pihak diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan. Tindakan tidak bertanggungjawab seperti ini hanya akan mengeruhkan lagi keadaan dan mencetuskan salah faham awam.