The Malaysia Post

Malaysia lanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April

Malaysia hari ini melanjutkan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April 2020. Ini diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu sidang media, tengah hari tadi. Beliau menjelaskan, pelanjutan tempoh berkenaan dibuat lebih awal agar rakyat lebih bersedia.

“Kerajaan telah memutuskan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan akan dilanjutkan sehingga 14 April 2020. Saya memaklumkan pelanjutan tempoh ini lebih awal supaya saudara saudari lebih bersedia,” katanya semasa Perutusan Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung pada Rabu. 

Justeru, mereka yang telah pulang ke kampung halaman sebelum ini diingatkan agar tidak pulang ke ibu kota.

“Anda yang berada di kampung tak perlu bergegas balik ke Kuala Lumpur hujung minggu ini. Duduklah dulu di kampung dan jangan ke mana-mana. Anak-anak yang sepatutnya balik ke asrama, tak perlu balik ke asrama lagi. Tunggu dulu.

“Pejabat-pejabat yang masih ditutup tak perlu dibuka lagi. Jika ada perkara penting yang nak diurus dalam tempoh dua tiga minggu yang akan datang, rancanglah dari sekarang bagaimana nak menguruskannya,” ujar beliau lagi. 

Kata Perdana Menteri, tempoh kuatkuasa perintah ini akan dikaji dari semasa ke semasa. “Jika ada keperluan untuk dilanjutkan lagi, saya akan buat pengumuman mengenainya. Yang penting saya mohon supaya saudara-saudari sentiasa bersedia untuk duduk lebih lama di rumah,” tambahnya.

Kata Muhyiddin, rakyat perlu bersedia secara mental dan fizikal untuk duduk diam-diam di rumah bagi tempoh yang agak lebih lama. “Saya telah diberikan taklimat oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Trend semasa menunjukkan kes-kes positif COVID 19 yang baharu masih berlaku,” kata beliau. 

Beliau juga telah mengarahkan semua kementerian untuk membuat persiapan yang rapi bagi mengurus keperluan asas rakyat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa.

“Yang penting semua keperluan asas mestilah sentisa tersedia dan mencukupi. Ini termasuk bekalan makanan, elektrik dan air, perkhidmatan kutipan sampah dan pembentungan, kemudahan komunikasi dan logistik serta keselamatan dan ketenteraman awam,” kata Muhyiddin. 

“Semalam saya telah umumkan beberapa inisiatif untuk meringankan beban rakyat dalam menghadapi situasi yang sukar ini. Hari ini, satu lagi inisiatif iaitu penangguhan bayaran balik pinjaman bank sehingga enam bulan dan penyusunan semula baki kad kredit serta pinjaman korporat telah saya umumkan,” ujarnya. 

Perintah Kawalan Pergerakan pada awalnya dilaksanakan bermula 18 Mac sehingga 31 Mac 2020.

About J M Riaz

JM Riaz merupakan seorang wartawan hiburan yang gemar membuat liputan berita terkini di dunia. Dia bersemangat untuk membawa orang ramai yang terkini dan terhebat dalam hiburan. JM suka berinteraksi dengan pembacanya dan mendengar pendapat mereka tentang cerita terkini.

Read Previous

Lelaki maut oleh hantavirus di China

Read Next

Pelajar Malaysia di Universiti Oxford antara yang terlibat cipta kit ujian COVID-19

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.