Arena politik tanah air tidak pernah sunyi daripada kontroversi, percaturan strategi, lompat sana-sini, hatta tikam-menikam. Satu hakikat yang harus diakui, politik Malaysia terlalu banyak rencamnya.
Tak sampai dua tahun, sejarah baru dicoret lagi. Kerajaan Pakatan Harapan yang dahulunya gagah menumbangkan BN, runtuh pada 24 Februari 2020. Kali ini Perikatan Nasional (PN), serpihan daripada kerajaan yang pernah tumbang sebelum ini pula mengambil tempat.
Pakatan baharu tersebut ditunjangi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Baru sahaja mengambil alih kerajaan selepas kemelut politik yang membarah pada penghujung Februari lepas, sudah timbul cakap-cakap mempersoalkan keputusannya.
Semuanya angkara barisan Kabinet yang diumumkannya pada 9 Mac 2020. Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Amanah membidas, kononnya Kabinet Muhyiddin terlalu besar dengan 31 menteri, 38 timbalan menteri, 70 orang keseluruhannya (termasuk Perdana Menteri).
Bahkan, ada kementerian yang dahulunya ditugaskan kepada seorang menteri, kini dipecahkan kepada tiga. Kementerian dimaksudkan adalah Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang dahulunya diamanahkan kepada Yeo Bee Yin.
Kini, tiga menteri memegang portfolio hampir sama dengan Ahli Parlimen Bakri itu iaitu Menteri Alam Sekitar, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Pas-Kubang Kerian), Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (UMNO-Lenggong) dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (UMNO-Rembau).
Kementerian Pendidikan yang dahulunya diterajui Dr Maszlee Malik secara berseorangan turut dipecahkan dengan tambahan Kementerian Pengajian Tinggi yang sebelum ini ditiadakan.
Hakikatnya, lebih ramai menteri, lebih tinggi kos ditanggung kerajaan. Fakta tersebut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat apatah lagi selepas mengambil kira keadaan ekonomi negara yang tidak begitu memberangsangkan.
Pertimbangan kos
Bagi penganalisis politik, Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed, saiz Kabinet yang besar memang menyebabkan perbelanjaan negara bertambah, namun beliau merasakan Muhyiddin membuat keputusan sedemikian untuk mendapatkan kestabilan politik dalam negara. Menurutnya, keputusan berkenaan juga merupakan salah satu kaedah untuk Perdana Menteri memastikan supaya Kabinet tersebut akan kekal sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Kalau bercakap dari segi kos, memang kosnya tidaklah begitu efisien tapi pertimbangan ini bukan pertimbangan kos tapi lebih kepada satu pertimbangan untuk perjanjian yang telah diadakan. Jadi komposisi parti yang membentuk kerajaan itu perlu diberikan jawatan.
“Bagi saya, sasaran utamanya ialah kestabilan politik. Maknanya kalau mereka ini tidak diiktiraf, Perdana Menteri tidak boleh membentuk kerajaan dan dalam masa yang sama, lagi banyak jawatan diberikan, Kabinet akan stabil.
“Ini kerana wakil-wakil rakyat yang diberikan jawatan akan berasa terhutang budi dan kita lihat parti-parti pun berterima kasih, Pas berterima kasih, GPS (Gabungan Parti Sarawak) berterima kasih dan wakil di Sabah juga berterima kasih,” katanya.
Tambah beliau, Kabinet kali ini bersaiz besar kerana perlu memberikan kuota tertentu kepada PN bagi memastikan wakil rakyat mereka mendapat pengiktirafan dalam pembentukan kerajaan.
“Ini berbeza dengan dulu semasa ditadbir PH. Kalau kita lihat gabungannya itu dulu kecil, DAP, PKR, Bersatu dan Amanah, jumlahnya pun sedikit. Jadi itu yang membezakan kali ini.
“Apabila banyak parti, sudah pasti banyak jawatan perlu diberikan kepada parti yang membentuk kerajaan. Bagi saya itu rasionalnya kenapa saiz Kabinet pada kali ini agak besar berbanding sebelum ini,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara pernah mendedahkan gaji sebulan pemimpin tertinggi negara. Gaji Perdana Menteri ialah RM20,540, Timbalan Perdana Menteri (RM16,351), menteri (RM13,416) dan timbalan menteri (RM9,762).
Jika gaji tersebut ditolak 10 peratus daripada gaji asal seperti yang diamalkan PH, ini bermakna kerajaan PN perlu membelanjakan hampir RM10 juta setahun berbanding zaman PH kira-kira RM7.4 juta setahun. Jumlah tersebut belum mengambil kira pelbagai jenis elaun yang disedia-kan seperti keraian dan rumah.
Dalam pada itu, Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, cabaran besar Kabinet Muhyiddin adalah untuk meyakinkan semua pihak bahawa mereka sedang giat melaksanakan langkah mengekang penularan Covid-19 dan mempercepatkan pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi.
Menurutnya, buat masa ini, perkara paling utama adalah memastikan tahap kesihatan rakyat dalam konteks penularan wabak ini adalah baik.
“Ini adalah penting kerana sekiranya tahap kesihatan semakin merosot atau wabak ini terus merebak, ia bakal menimbulkan suasana panik. Sekiranya perkara ini terjadi, ia boleh melumpuhkan ekonomi negara kerana pekerja tidak dapat bekerja seperti biasa, hilangnya punca pendapatan dan merosotnya keuntungan para peniaga,” katanya.
Jelasnya, keutamaan kerajaan perlu diletakkan di tempat yang betul, dilaksanakan dengan cekap dengan komunikasi yang jelas kepada rakyat, peniaga dan pelabur.
“Dari sudut ekonomi, penekanan kepada sektor domestik seperti pelaksanaan projek infrastruktur, menggalakkan industri pelancongan domestik serta bayaran pindahan kepada golongan pendapatan rendah seharusnya menjadi fokus utama.
“Negara kita telah beberapa kali menghadapi suasana ekonomi yang gawat sebelum ini. Seharusnya pengalaman yang lepas boleh dijadikan panduan bagi menangani kemelut wabak dan ekonomi global yang lembap,” katanya.
Situasi politik negara tidak keruan pada penghujung bulan lepas dan kini kelihatan semakin stabil. Fokus utama Muhyiddin dan komrad beliau sudah semestinya memulihkan semula negara, ekonomi khususnya.
Tak kiralah saiz Kabinet besar atau kecil, yang penting semuanya berjalan lancar, membawa kebaikan kepada negara. Cukuplah pertikai sana-sini kerana jangan dilupa, rakyat sentiasa memerhati.