KUALA LUMPUR, 9 September 2025 – Kejohanan badminton Terbuka Hong Kong 2025 kini rasmi membuka tirai di Hong Kong Coliseum, Kowloon, dan ia bukan sekadar pentas pertarungan jaguh dunia, malah medan rebutan hadiah wang tunai bernilai $500,000 (RM2.1 juta)!
Malaysia sekali lagi menurunkan barisan terkuat, termasuk beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik, gandingan serasi Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, serta beregu wanita popular, Pearly Tan-M. Thinaah.
Namun, sedikit mengejutkan apabila pasangan juara dunia beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, menarik diri pada saat akhir. Meskipun begitu, skuad negara kekal bersemangat tinggi dalam usaha memburu kejayaan di gelanggang Hong Kong
Kenapa Terbuka Hong Kong 2025 Jadi Tumpuan?
Walaupun hanya berstatus BWF Super 500, kejohanan ini sering menjadi medan penting menjelang kejohanan besar lain. Dengan tawaran hadiah lumayan, ramai pemain elit dunia tidak melepaskan peluang untuk mengumpul mata ranking dan, pada masa sama, membawa pulang ganjaran bernilai.
Lebih menarik, kejohanan ini berlangsung di Hong Kong Coliseum, venue berprestij yang sering menjadi saksi aksi dramatik badminton bertaraf dunia.
Hadiah Wang Tunai Terbuka Hong Kong 2025
Total hadiah keseluruhan mencecah $500,000 (RM2.1 juta), dengan agihan mengikut prestasi setiap pemain dan pasangan. Berikut butirannya:
Tewas di Pusingan Kedua (Round of 16)
- Perseorangan Lelaki & Wanita: $1,750 (±RM7,365)
- Beregu Lelaki/Wanita/Campuran: $1,875 (±RM7,891)
Tewas di Suku Akhir
- Perseorangan Lelaki & Wanita: $3,000 (±RM12,628)
- Beregu Lelaki/Wanita/Campuran: $3,625 (±RM15,260)
Tewas di Separuh Akhir
- Perseorangan Lelaki & Wanita: $7,250 (±RM30,521)
- Beregu Lelaki/Wanita/Campuran: $7,000 (±RM29,467)
Naib Juara Terbuka Hong Kong 2025
- Semua kategori: $19,000 (±RM79,982)
Juara Terbuka Hong Kong 2025
- Perseorangan Lelaki & Wanita: $37,500 (±RM157,855)
- Beregu Lelaki/Wanita/Campuran: $39,500 (±RM166,274)
Fokus Malaysia: Boleh Ke Kita Pulang Bawa Emas Terbuka Hong Kong 2025?
Tumpuan sudah tentu terarah kepada beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, yang terus mempamerkan prestasi konsisten di kejohanan antarabangsa. Pasangan wanita, Pearly Tan-M. Thinaah, turut menjadi perhatian selepas mencipta sejarah muncul juara Terbuka Hong Kong 2024.
Saingan kali ini bukan sekadar medan memburu gelaran, tetapi juga pentas penting untuk menilai tahap persiapan mental dan fizikal pemain negara menjelang kejohanan besar akan datang, termasuk BWF World Tour Finals 2025.
Baca juga:
- Tang Jie-Ee Wei Kejutkan China, Mara ke Suku Akhir Terbuka China 2025
- 4 Fakta Menarik Kejayaan Aaron Chia-Wooi Yik Di BAC 2025
Terbuka Hong Kong 2025 bukan sekadar gelanggang biasa, ia medan memburu gelaran, mata ranking, dan wang tunai lumayan. Dengan barisan pemain negara yang mantap, harapan rakyat Malaysia kini terarah kepada mereka untuk mencipta detik manis dan membawa pulang emas ke tanah air.
Jadi, sama-sama kita nantikan – adakah Malaysia bakal menggegarkan Hong Kong sekali lagi?