Nama bintang muda Sepanyol, Lamine Yamal, yang baru sahaja mencecah usia 18 tahun, kini hangat diperkatakan bukan kerana aksi hebatnya di padang bola sepak, tetapi kerana sambutan ulang tahun mewah yang mencetuskan kontroversi seluruh negara.
Majlis ulang tahun Yamal yang bertemakan mafia Itali dan diadakan di sebuah lokasi eksklusif di Barcelona dihiasi dengan segala macam kemewahan seperti sut putih, tongkat, DJ terkenal, permainan kasino, bunga api dan barangan mewah. Namun, satu perkara yang menjadi bualan ramai adalah kemunculan beberapa individu bertubuh kerdil yang didakwa dijadikan sebagai ‘hiburan’ semasa majlis tersebut.
Gunakan Orang Kerdil Sebagai Hiburan Hari Jadi, Lamine Yamal Dikecam Teruk di Media Sosial
Satu klip video berdurasi kurang satu minit yang tular di TikTok dan Instagram menunjukkan beberapa individu bertubuh kerdil keluar dari kawasan majlis sambutan, dipercayai selepas selesai ‘bertugas’ sebagai sebahagian daripada acara hiburan malam itu.
Video tersebut pantas mengundang kecaman netizen dan organisasi hak asasi manusia. Ramai melabelkan tindakan itu sebagai “tidak sensitif”, “eksploitasi” dan “tidak berperikemanusiaan”, lebih-lebih lagi datang daripada seorang figura terkenal seperti Yamal yang menjadi ikon remaja di seluruh dunia.
Lamine Yamal Disiasat, Didakwa Eksploitasi Orang Kerdil!
Presiden Persatuan Orang Kurang Upaya Sepanyol (ADEE), Carolina Puente berkata dengan tegas:
“Pada abad ke-21, kita seharusnya sudah tinggalkan budaya mempergunakan orang lain, apatah lagi golongan kurang upaya sebagai alat hiburan. Ini satu bentuk penghinaan.”
ADEE juga menggesa agar pihak berkuasa menyiasat sama ada terdapat pelanggaran hak golongan kerdil dalam majlis tersebut.
Lamine Yamal Disiasat Kerajaan Sepanyol, Didakwa Eksploitasi Orang Kerdil!
Rentetan dari kecaman awam yang semakin memuncak, Pengarah Besar Ketidakupayaan Sepanyol, Jesus Martin tampil dengan kenyataan rasmi. Beliau menyeru agar siasatan rasmi segera dilancarkan:
“Tak kira seseorang itu selebriti, kaya atau berpengaruh undang-undang tetap perlu ditegakkan. Ini bukan soal suka-suka. Ini soal hak dan maruah manusia.”
Jika didapati bersalah mempermainkan individu berdasarkan kekurangan fizikal, Yamal boleh dikenakan denda sehingga €1 juta (RM4.96 juta).
Baca lanjut:
- Arne Slot Didakwa Kerana Mengeluarkan Kata-Kata Kesat Terhadap Pengadil
- FAM Tuntut Penjelasan Cklamovski Berhubung Isu Dalaman Harimau Malaya
Lamine Yamal Belum Bersuara, Tapi Video Sambutan Curi Tumpuan
Menariknya, sehingga kini, Lamine Yamal belum mengeluarkan sebarang kenyataan balas rasmi. Namun, dia telah memuat naik video sorotan majlis ulang tahunnya di Instagram yang menerima lebih sejuta tanda suka daripada 36 juta pengikutnya.
Video itu memaparkan suasana sambutan yang sangat mewah dari gaya rambut perang ala mafia, permainan kasino, DJ live, hingga ke hadiah-hadiah eksklusif seperti rantai berlian bernilai RM1.7 juta yang tertulis “LY”, dikhabarkan hadiah dari penyanyi rap popular, El Alfa.
Bekas Ratu Cantik Dedah Syarat Pelik Jemputan Majlis Lamine Yamal
Tambah ‘pedas’, seorang model terkenal yang juga bekas Ratu Cantik Remaja Sepanyol 2021, Claudio Calvo, mendakwa beliau dijemput ke majlis itu tetapi menolak kerana diminta memenuhi syarat berkaitan saiz badan, pakaian dan penampilan.
“Saya tak sanggup jadi sebahagian daripada pesta yang menilai orang berdasarkan rupa atau tubuh,” katanya kepada media.
Ulang tahun yang sepatutnya menjadi kenangan manis Lamine Yamal kini berubah menjadi krisis reputasi yang mungkin mencemarkan imejnya di peringkat antarabangsa. Sama ada Yamal bersalah atau tidak, masyarakat kini menuntut akauntabiliti daripada selebriti yang memiliki pengaruh besar di media sosial.
Siasatan rasmi dijangka bermula dalam masa terdekat dan segala tindakan akan diambil berdasarkan hasil siasatan, tanpa memilih bulu. Sama ada dia pemain bola sepak muda berbakat atau tidak, undang-undang tetap perlu dihormati.