The Malaysia Post

Malaysia Ketinggalan Jauh? Ini Jurang Terkini Ranking FIFA Dengan Cape Verde

Debaran kian terasa menjelang aksi persahabatan Tier 1 antara Malaysia dan Cape Verde yang bakal menghiasi malam 29 Mei 2025 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras. Bukan hanya sekadar perlawanan yang menjadi pemanas badan, pertemuan kedua pasukan dalam ranking FIFA ini ibarat ‘makmal eksperimen taktikal’ buat Harimau Malaya, medan penting untuk menguji denyut nadi keserasian dan ketahanan pasukan sebelum melangkah ke gelanggang kompetitif sebenar.

Malaysia Bakal Uji Kemampuan Bertemu Cape Verde Skuad Teratas Ranking FIFA

Di bawah acuan taktikal Peter Cklamovski, pasukan Harimau Malaya kini dilihat secara perlahan-lahan telah mengasah taring selepas kejayaan mereka menundukkan pasukan Nepal dalam aksi perlawanan pembukaan tirai Kumpulan F, Kelayakan Piala Asia 2027 pada 25 Mac lalu. Pertemuan menentang Cape Verde bukan sekadar perlawanan persahabatan biasa, ia umpama cermin yang bakal memperlihatkan sejauh mana pasukan negara sudah bersedia untuk ‘berperang’ menentang Vietnam di gelanggang keramat, Stadium Nasional Bukit Jalil.

Cape Verde: Ancaman dari Benua Afrika

Di bawah tunjuk ajar Pedro Leitao Brito,  nama pentasnya Bubista, Cape Verde tampil sebagai musuh yang bukan sekadar menakutkan di atas kertas. Mewakili tangga ke-72 dunia dengan 1344.37 mata dalam Ranking FIFA, skuad dari Atlantik ini berdiri jauh di hadapan Malaysia yang kini di kedudukan ke-131. Bezanya bukan sedikit, 59 anak tangga, satu jurang yang menceritakan cabaran sebenar menanti Harimau Malaya.

Cape Verde juga sedang berada dalam prestasi memberangsangkan apabila mencatat dua kemenangan berturut-turut menentang Angola dan Mauritius. Barisan pemain mereka kebanyakannya beraksi di liga utama Eropah seperti Portugal, Perancis dan Sepanyol, menjadikan mereka antara skuad paling kompetitif dari benua Afrika.

Perspektif Jurulatih: Ujian Penting Untuk Harimau Malaya

Menurut Cklamovski, beliau menyambut baik peluang untuk menguji kemampuan pasukannya dengan menentang lawan yang mempunyai standard permainan lebih tinggi.

“Cape Verde merupakan antara pasukan terbaik di Afrika. Mereka memiliki ramai pemain yang beraksi di peringkat tertinggi di Eropah. Ini adalah ujian penting yang kami perlukan untuk mengukur tahap semasa pasukan serta membina keyakinan menjelang perlawanan yang lebih besar,” ujar beliau kepada Malaysia National Team (Malaysia NT).

Baca juga:

Maklumat Perlawanan Malaysia vs Cape Verde

Pertembungan Malaysia menentang Cape Verde akan berlangsung seperti yang dijadualkan di bawah ini:

  • Tarikh: 29 Mei 2025
  • Masa: 8.00 malam
  • Tempat: Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras

Peminat bola sepak tempatan dikhabarkan bakal memenuhi ruangan stadium bagi menyaksikan pertembungan yang sangat berprestij ini yang turut menjadi penentu hala tuju skuad Harimau Malaya di pentas bola sepak antarabangsa.

About Syaqiq Al Azdi

Syaqiq Al Azdi adalah seorang penulis laman web WordPress yang mahir
dengan pengalaman selama 5 tahun dalam menghasilkan kandungan yang
menarik dan mesra SEO. Mempunyai Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran
Perniagaan, Syaqiq menggabungkan kepintaran perniagaan dengan
pemahaman mendalam tentang penulisan web, memastikan kandungan
yang dihasilkan selaras dengan keperluan pengguna dan matlamat
perniagaan

Read Previous

InDrive dan Maxim Diarah Henti Operasi di Malaysia Mulai 24 Julai – Anthony Loke

Read Next

DMA Islam Undang Kontroversi, Label Program Masskomunikasi dan Teater Sebagai Bidang Tidak Berkualiti

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *