The Malaysia Post

Golongan profesional dan teknorat harus diberi peluang dalam kabinet baharu

Golongan profesional dan teknorat harus diberi peluang menyertai kabinet baharu dalam usaha meningkatkan imej kerajaan di mata rakyat. Golongan berkenaan yang tidak mempunyai ikatan secara langsung dengan parti politik boleh dilantik sebagai senator sebelum diangkat menjadi menteri menurut Felo Penyelidik Undang-undang dan Perlembagaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi Yusof.

“Jika dilihat kepada peristiwa pergolakan politik dalam seminggu yang lepas wujud satu persepsi negatif dalam kalangan rakyat terhadap ahli-ahli politik.

“Kalau kerajaan ini benar-benar serius memulihkan keyakinan orang ramai, maka ini (pelantikan golongan profesional dan teknorat) boleh diguna sebagai langkah membuka pentadbiran kerajaan kepada bukan semata-mata ahli politik tetapi golongan profesional dan teknorat,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Fathi berkata pemimpin yang dipilih kelak mesti dari kalangan mereka yang cekap bagi menggerakkan pembangunan ekonomi dan sosial dengan lebih rancak.

“Terpulang kepada kebijaksanaan Perdana Menteri untuk memilih anggota Kabinet kini, beliau mempunyai ruang dan kebebasan untuk memilih,” kata beliau yang turut berpendapat Kabinet yang akan ditubuhkan agak unik berikutan kerjasama politik berlaku adalah secara spontan.

Sementara itu, penganalisis sosiopolitik dari Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi menjangkakan parti terbesar dalam gabungan baharu itu nanti bakal mendapat portfolio kementerian paling ramai.

Katanya, setiap parti dalam gabungan itu pastinya akan menamakan calon menteri masing-masing termasuk menamakan pemimpin utama parti, tetapi Perdana Menteri hendaklah mengambil kira reputasi setiap individu yang dicalonkan itu. Besar kemungkinan beberapa pemimpin kurang popular bakal mendapat tempat dalam barisan jemaah menteri.

“Perlu diingatkan, rakyat mahukan perubahan jemaah menteri, mereka mestilah bebas daripada rekod buruk, bebas kes rasuah dan tidak terpalit dengan kes mahkamah. Itu satu yang jelas.

Baca Juga:  Pilihan Raya Kecil Pelangai: Calon BN Mahu Meningkatkan Tahap Sosioekonomi Masyarakat Setempat

“Persepsi adalah lebih kuat berbanding realiti… Perdana Menteri perlu mengambil kira reputasi setiap calon ahli Kabinet. Ini penting untuk mengembalikan kepercayaan rakyat,” kata Awang Azman.

Dalam pada itu, susulan pengumuman pindaan tarikh persidangan Dewan Rakyat yang ditunda kepada 18 Mei ini, Awang Azman berkata, ia memberikan lebih ruang untuk Perdana Menteri membuat keputusan memilih barisan menteri yang mantap.

About Aiman Hakim

cf101fe1d9938c321c3d7c1a070bbab3bb0a4096186500eca99cae258b0c050d?s=90&d=mm&r=gAiman Hakim ialah seorang penganalisis politik dan wartawan yang meliputi politik Malaysia serta hubungan serantau ASEAN. Beliau memberikan laporan yang jelas mengenai dasar kerajaan, kerjasama serantau, dan bagaimana perkembangan antarabangsa mempengaruhi kedudukan Malaysia di Asia Tenggara.

Read Previous

SPM 2019: Pencapaian lebih dengan GPN 4.86

Read Next

Kenyataan akhbar UK terhadap “royal coup” hina institusi diraja

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *