KUALA LUMPUR, 5 Mei 2025 – Rumah tangga pelakon terkenal, Edika Yusof, akhirnya menemui titik noktah apabila dia sah bercerai dengan isterinya, Nor Hidayah Yusri, selepas 21 tahun mendirikan rumah tangga.
Pelakon yang popular dengan drama-drama era 90-an itu melafazkan cerai talak satu sekitar jam 10.42 pagi tadi di hadapan Hakim Syarie, Syed Muhammad Syahadi Syed Siksh di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.
“Saya, Mohd Yusof Abd Majid, menceraikan isteri saya, Nor Hidayah Yusri, dengan talak satu mulai hari ini,” ujar Edika dengan tenang.
Tiada Ucapan Terakhir Dari Edika Yusof Selepas Cerai
Difahamkan, Edika hadir ke mahkamah seawal jam 9.50 pagi. Walaupun tenang di luar, suasana di dalam dewan perbicaraan cukup menyentuh hati. Menariknya, Edika memilih untuk tidak memberikan ucapan terakhir buat isterinya sebelum lafaz cerai dilakukan.
Namun berbeza dengan Hidayah, yang dalam keadaan sebak tetap mengucapkan terima kasih atas segala kebaikan suaminya itu sepanjang tempoh perkahwinan mereka.
“Saya tak pernah nafi kebaikan dia. Tapi keputusan ni dibuat atas dasar hukum. Saya terpaksa buat. Saya harap dia faham,” kata Hidayah sambil menitiskan air mata.
Edika Yusof & Isteri Sama-sama Maafkan, Tamat Dengan Salam Sebelum Cerai
Selepas lafaz cerai dibuat, kedua-duanya berjabat tangan dan saling bermaafan – satu momen yang cukup menyentuh hati orang ramai yang mengikuti kes ini.
Pasangan ini telah berkahwin sejak tahun 2004, dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Fardeen Nasrulhaq dan Fereena Nurulhaq.
Baca juga:
- Isteri Edika Yusof Tuntut Cerai
- Rumah Tangga Retak: Baim Wong Sah Ceraikan Paula Verhoeven Kerana Curang
Kisah Rumah Tangga Edika Yusof & Isteri Yang Mula Retak
Beberapa minggu sebelum ini, isu rumah tangga Edika dan Hidayah hangat diperkatakan apabila timbul dakwaan tentang kehadiran orang ketiga. Malah, Edika sendiri pernah menyuarakan rasa kecewa apabila mendakwa isterinya kerap berbual telefon dengan lelaki lain.
Di pihak Hidayah pula, dia mendakwa Edika pernah melafazkan cerai beberapa kali dan anak-anak mereka turut mengetahui apa yang sedang berlaku dalam rumah tangga itu.
Apa pun yang berlaku, jodoh, rezeki dan takdir adalah ketentuan Tuhan. Meskipun perkahwinan 21 tahun ini berakhir, ramai mendoakan agar mereka berdua terus kuat dan tabah menghadapi fasa baharu dalam hidup masing-masing.