Pahalgam, India | 23 April 2025 – Kawasan pelancongan popular Pahalgam, Jammu dan Kashmir digemparkan dengan serangan bersenjata yang mengorbankan 26 nyawa dan mencederakan ramai pelancong lain, menjadikan insiden ini antara tragedi paling dahsyat di wilayah tersebut.
Insiden ngeri ini berlaku di Lembah Baisaran, sebuah kawasan yang hanya boleh diakses melalui perjalanan kaki atau tunggangan kuda. Menurut Ketua Polis Kashmir, VK Birdi, lokasi kejadian terletak di padang rumput berlatarkan gunung-ganang, jauh dari akses jalan raya.
Mangsa Serangan di Kashmir Termasuk Pelancong Warga Asing
Antara mangsa yang terkorban termasuk seorang warga Nepal dan seorang lagi rakyat India yang bekerja di Timur Tengah dan mangsa yang terkorban merupakan pelancong tempatan dari pelbagai negeri yang terletak di India.
Seorang wanita yang terselamat menceritakan suaminya ditembak di kepala dalam serangan mengejut itu. Mangsa yang terselamat, Asavari Jagdale, memaklumkan bahawa penyerang mendakwa mereka menyokong Perdana Menteri India, Narendra Modi, sebelum bertindak melepaskan tembakan ke arah keluarganya.
Penduduk tempatan seperti Abdul Waheed segera membantu membawa mangsa yang cedera keluar dari lokasi kejadian menggunakan kuda dan katil bayi sementara. Kejadian ini telah mencetuskan trauma mendalam kepada mereka yang terlibat, dengan Waheed mengakui tidak dapat tidur selepas menyaksikan sendiri kekejaman itu.
Baca lagi | 4 Terbunuh, 1 Cedera Parah Selepas Kereta Kabel Jatuh Gunung di Monte Faito
Kumpulan Militan Mengaku Bertanggungjawab Serangan di Kashmir
Kumpulan militan dikenali sebagai The Resistance Front (TRF) mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu melalui hantaran media sosial, mendakwa mereka menentang kehadiran “orang luar” yang didakwa mengubah demografi Kashmir. Namun, pengakuan itu belum dapat disahkan pihak berkuasa.
Operasi mencari dan menyiasat sedang dijalankan oleh pihak tentera dan keselamatan India, manakala kerajaan mengatur pemindahan mangsa dan keluarga mereka menggunakan pesawat khas.
Perdana Menteri India, Narendra Modi mengecam serangan di Kashmir sebagai perbuatan keji dan berjanji membawa pelaku ke muka pengadilan. Beliau turut memendekkan lawatan ke Arab Saudi bagi mempengerusikan mesyuarat keselamatan tergempar. Pemimpin antarabangsa termasuk dari AS, Rusia dan Iran turut mengutuk insiden tersebut.
Ketegangan di Kashmir terus memuncak sejak India menarik balik status autonominya pada 2019, dengan pelbagai serangan masih berlaku. Serangan terbaru ini berlaku sehari selepas lawatan Naib Presiden AS ke wilayah tersebut. India menyalahkan Pakistan, namun Islamabad menafikan penglibatan dan mengecam keganasan itu.
Ketakutan Meningkat di Kalangan Rakyat Kashmir
Nasir Khuehami daripada Persatuan Pelajar Jammu dan Kashmir berkata penduduk tempatan bimbang akan peningkatan sentimen anti-Kashmir dan anti-Muslim di media sosial susulan tragedi ini. Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan pelajar Kashmir di seluruh India.