KUALA LUMPUR, 22 April 2025 – Setelah hampir dua minggu menghilangkan diri daripada media sosial, doktor dan pempengaruh kesihatan terkenal, Aliff Zaki, akhirnya tampil memberikan kenyataan berhubung kontroversi yang melibatkan dirinya.
Melalui satu video yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya, Aliff menjelaskan bahawa dia memilih untuk berdiam diri kerana ingin memberi ruang kepada pihak berkaitan untuk menguruskan isu tersebut secara profesional.
“Selama dua minggu ini saya menjauhkan diri daripada media sosial kerana saya perlu fokus sepenuhnya kepada hal-hal yang berlaku di dunia sebenar. Saya tahu ramai tertanya-tanya, tetapi saya percaya diam adalah pilihan terbaik buat masa ini,” ujarnya.
Doktor Popular TikTok Alpha Zaki Serahkan Kepada Peguam, Enggan Ulas Lanjut
Menurut Aliff, beliau tidak akan membuat sebarang penjelasan secara terperinci kerana perkara tersebut kini telah berada dalam perhatian pihak guaman.
“Kes ini telah saya serahkan sepenuhnya kepada pihak peguam. Saya tidak mahu mengulas lanjut kerana tidak mahu kenyataan saya disalah tafsir. Biarlah hanya pihak yang terlibat sahaja yang mengendalikan situasi ini mengikut prosedur undang-undang,” tambahnya.
Aliff turut mengakui bahawa dia tidak mempunyai kekuatan untuk membalas setiap komen atau tuduhan yang dilemparkan kepadanya di media sosial.
“Saya rasa tidak berdaya untuk menjawab satu per satu. Saya takut jika saya tersalah cakap, keadaan akan menjadi lebih rumit. Maka saya pilih untuk diam dan beri laluan kepada proses undang-undang berjalan seperti sepatutnya,” jelasnya lagi.
Baca lagi | TikTok Terpaksa Dijual Jika Ingin Terus Beroperasi di Amerika Syarikat
Doktor Popular TikTok Aliff Zaki Janji Untuk Perbaiki Diri
Dalam nada yang penuh insaf, Aliff turut menyatakan bahawa dia hanyalah manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Beliau berjanji untuk memperbaiki diri agar menjadi individu yang lebih baik.
“Selagi saya masih bernafas, selagi itulah saya akan berusaha untuk memperbaiki diri. Dua minggu ini saya hidup, tetapi seolah-olah tidak mempunyai kehidupan,” katanya dengan penuh emosi.
Di ruangan komen, rata-rata pengguna TikTok memberikan sokongan moral kepada Aliff. Ramai yang mendoakan agar segala urusannya dipermudahkan dan berharap beliau mengambil iktibar daripada apa yang telah berlaku.
Baca lagi | Bagaimana untuk menjadi Viral di TikTok
Latar Belakang Kontroversi Doktor Popular TikTok Aliff Zaki
Sebelum ini, nama Aliff Zaki menjadi sebutan selepas seorang wanita membuat pendedahan di platform X (dahulu dikenali sebagai Twitter), mendakwa bahawa doktor berkenaan pernah mengajaknya ‘check-in’ di sebuah hotel ketika bulan Ramadan. Pendedahan tersebut mengundang pelbagai reaksi dan menjadi perbualan hangat dalam kalangan netizen.