KUALA LUMPUR, 21 April 2025 – Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, menggesa seorang pempengaruh media sosial, Rafidah Ibrahim, agar membuat permohonan maaf secara terbuka dan menarik balik dakwaan yang didakwanya bersifat fitnah berhubung isu tanah di Kampung Baru.
Dalam satu sidang media khas yang diadakan hari ini, Khalid menyatakan bahawa beliau telah menghantar surat tuntutan rasmi kepada Rafidah pada 17 April lalu, bagi menuntut tindakan susulan termasuk permohonan maaf, penarikan balik kenyataan, dan bayaran gantirugi.
“Dakwaan yang dibuat oleh Rafidah adalah tidak berasas dan melulu. Ia bukan sahaja mencemarkan imej saya, tetapi turut mengelirukan masyarakat mengenai isu sebenar yang berlaku di Kampung Baru,” tegas beliau.
Baca lagi | Penduduk Kampung Sungai Baru Desak Pampasan Lebih Adil dari Kerajaan
Isu Kampung Baru: Tuduhan Rafidah Ibrahim Tidak Tepat dan Mengelirukan – Khalid Samad
Isu tercetus susulan satu video TikTok yang dimuat naik oleh Rafidah, yang memperlihatkan beliau menaiki kenderaan sambil menggunakan pembesar suara untuk menyuarakan bantahan terhadap isu pemilikan tanah di Kampung Sungai Baru.
Dalam video itu, Rafidah mendakwa Khalid mempunyai niat untuk memansuhkan Lembaga Pentadbiran Malay Agricultural Settlement (MAS) serta menghapuskan status tanah rizab Melayu, bukan hanya di Kampung Sungai Baru, malah di seluruh Kampung Baru.
Baca lagi | Kerajaan Menolak Pengiktirafan Kampong Baru Sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO
Bagaimanapun, Khalid menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut, dan menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak bertanggungjawab serta merosakkan reputasi beliau yang juga merupakan Pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan.
“Dia buat konten TikTok yang viral, tetapi fakta semua salah. Dia puji Annuar Musa yang sebenarnya antara punca isu Kampung Baru menjadi rumit. Pada masa yang sama, dia memperlekehkan Annuar dan Shahidan Kassim dengan menuduh wujudnya ‘tangan ghaib’. Ini membuktikan dia sendiri tidak jelas apa yang diperkatakan,” ujar Khalid lagi.
Khalid Samad Bakal Saman Rafidah Ibrahim Jika Tiada Tindakan Susulan
Khalid turut menyatakan bahawa sekiranya Rafidah gagal memberikan respon terhadap tuntutan tersebut, tindakan undang-undang akan diambil.
“Kalau dia tak terima surat tuntutan itu kerana berpindah atau cuba mengelak, kita akan cari jalan untuk serahkan sama ada di rumah, di jalan raya, atau ketika dia buat siaran langsung di TikTok,” katanya dengan nada tegas.
Beliau menegaskan bahawa tindakan ini bukan bertujuan untuk menakut-nakutkan mana-mana pihak, tetapi sebagai satu bentuk tindakan perlu bagi menegakkan kebenaran dan mempertahankan maruah peribadi serta integriti pentadbiran lalu.