KUALA LUMPUR, 17 April 2025 – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mempertahankan tindakan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan yang menguatkuasakan pengusiran terhadap bekas pengendali Menara Kuala Lumpur, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB), yang berlaku lewat tengah malam semalam.
Fahmi Fadzil Pertahan Tindakan Pengusiran Bekas Pengendali Menara KL
Menurut Fahmi, pengambilalihan tersebut adalah sah di sisi undang-undang, memandangkan kontrak konsesi syarikat terbabit telah tamat pada 31 Mac lalu. Dalam satu sidang media di Angkasapuri hari ini, beliau menjelaskan bahawa Menara Kuala Lumpur adalah hak milik penuh kerajaan dan kini di bawah kendalian syarikat konsesi baharu bermula 1 April.
“Ada pelbagai sebab – sebahagiannya telah dilaporkan media, dan ada yang belum. Apa yang penting, syarikat lama enggan mengosongkan premis walaupun kontrak mereka sudah tamat. Maka Pesuruhjaya Tanah Persekutuan mengambil tindakan berdasarkan peruntukan Seksyen 425 Kanun Tanah Negara,” jelasnya.
Penguatkuasaan itu dilaksanakan sekitar jam 12.30 tengah malam.
Baca lagi | Menara TM disenaraikan untuk dijual, harga tidak didedahkan
Penutupan Sementara Menara KL Untuk Penyelenggaraan – Fahmi Fadzil
Susulan pengambilalihan ini, Menara Kuala Lumpur kini ditutup sementara kepada orang awam bagi memberi ruang kepada kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan. Kementerian Komunikasi mendapati beberapa struktur dan kemudahan di dalam menara berada dalam keadaan tidak memuaskan, termasuk peralatan dapur serta kawasan menara berputar yang dulunya menempatkan restoran.
“Kami sendiri menyaksikan keadaan yang membimbangkan – termasuk railing di dek pemerhati yang sudah diturunkan. Demi keselamatan pengunjung, syarikat baharu diarahkan untuk segera menjalankan kerja-kerja pembaikan,” kata Fahmi.
Beliau menegaskan bahawa aspek keselamatan dan kesejahteraan pengunjung menjadi keutamaan kerajaan dalam proses peralihan pengurusan ini.
Tindakan Undang-Undang Balas Oleh Pengendali Lama Menara KL
Dalam pada itu, firma guaman Rosli Dahlan Saravana yang mewakili MKLSB dan Hydroshoppe Sdn Bhd memaklumkan bahawa mereka telah diarahkan untuk memulakan prosiding komital terhadap pihak yang terlibat dalam pengambilalihan secara paksa tersebut.
Baca lagi | Panduan Perjalanan Kuala Lumpur 2023
Surat rasmi bertarikh hari ini yang ditujukan kepada Menteri Komunikasi serta Pesuruhjaya Tanah Persekutuan menggesa agar kerajaan menghentikan proses penyerahan Menara Kuala Lumpur kepada syarikat konsesi baharu, LSHSM, memandangkan isu berkenaan masih dalam proses tindakan undang-undang.