JOHOR BAHRU – Dominasi berterusan skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam arena bola sepak tanah air sekali lagi mencatat sejarah apabila keseluruhan struktur pasukan itu berjaya mengumpul 16 trofi sepanjang musim 2024/25.
Pencapaian luar biasa ini melibatkan keseluruhan ekosistem JDT – daripada pasukan senior, skuad pembangunan (JDT II, III dan IV), hinggalah ke peringkat akar umbi termasuk skuad bawah 17 tahun dan ke bawah. Ini menjadikan JDT satu-satunya kelab di Malaysia yang berjaya meraih kejuaraan konsisten dalam semua peringkat umur dan pertandingan.
Tiga Trofi Juara Dikuasai Skuad Senior JDT
Skuad utama JDT yang dikendalikan jurulatih dari Argentina, Hector Bidoglio, telah menyumbang tiga kejuaraan utama iaitu:
- Piala Sumbangsih
- Piala FA
- Liga Super Malaysia
Penguasaan mereka dalam saingan domestik bukan sahaja meneruskan legasi kejuaraan berturut-turut, malah memperkukuhkan reputasi mereka sebagai kelab bola sepak paling berjaya di Malaysia ketika ini.
JDT II Menang Bergaya Piala MFL
Pada 14 April lalu, pasukan JDT II mengesahkan kejuaraan Piala MFL apabila membelasah Penang FC II dengan keputusan 7-0. Kejayaan ini menjadikan JDT II juara dengan kelebihan satu mata mengatasi pencabar terdekat, Selangor II.
Piala Presiden & Belia Jadi Milik JDT III dan IV
Dua lagi kejayaan membanggakan diraih oleh skuad pembangunan:
- JDT III: Juara Piala Presiden
- JDT IV: Juara Piala Belia
Kedua-dua kejohanan ini menyaksikan bakat muda JDT semakin menyerlah dan membuktikan keberkesanan pelan pembangunan bola sepak mereka.
Baca lagi | Newin Chidchub Kecewa, JDT Sekat Buriram di Pusingan 16 ACLE
Kejayaan JDT Peringkat Akar Umbi
Kehebatan JDT turut terserlah di peringkat akar umbi. Berikut adalah pencapaian cemerlang mereka:
- JDT Bawah 17 (B-17): Juara MSSM dan Liga Remaja KPN/FAM
- JDT Bawah 15 (B-15): Juara Singapore Youth League (SYL), MSSM, dan La Liga Youth Tournament
- JDT Bawah 14 (B-14): Juara Supermokh Cup
- JDT Bawah 13 (B-13): Juara SYL
- JDT Bawah 12 (B-12): Juara La Liga Youth Tournament
Kesemua ini menyumbang kepada jumlah keseluruhan 16 trofi, suatu angka yang mencerminkan kekuatan struktur latihan dan pembangunan bakat muda kelab ini.
Baca lagi | JDT atau Velez Sarsfield? Dilema Karier Jalil Elias
JDT Masih Berpeluang Tambah Koleksi Trofi
Yang menariknya, JDT belum selesai lagi dengan musim mereka. Skuad utama masih berpeluang menambah satu lagi kejuaraan apabila bakal turun menentang Sri Pahang FC dalam perlawanan akhir Unifi Piala Malaysia yang dijadual berlangsung pada 26 April ini.
Sekiranya menang, jumlah trofi keseluruhan mereka untuk musim 2024/25 boleh mencecah 17 kejuaraan – satu pencapaian yang belum pernah dicapai oleh mana-mana kelab bola sepak di Malaysia.