Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menunggu laporan lengkap perubatan daripada pihak Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang, berhubung kecederaan dialami seorang peniaga belon yang dikenali sebagai “Abang Belon” selepas insiden pergelutan dengan pihak penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 28 Mac lalu.
Abang Belon Retak Tulang Belakang Akibat Pergelutan dengan Penguatkuasa DBKL
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa dalam satu sidang media hari ini memaklumkan bahawa laporan awal yang diterima menyatakan peniaga terbabit mengalami kecederaan serius melibatkan retakan tulang belakang dan kecederaan tisu lembut.
“Laporan penuh dijangka siap dalam tempoh 30 hari dari tarikh kemasukan ke hospital,” katanya selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Kuala Lumpur.
Identiti Mangsa dan Keadaan Kecederaan Abang Belon
Mangsa dikenali sebagai Muhammad Zaimuddin Azlan, 28 tahun, yang tular di media sosial selepas rakaman pergelutan tersebut mendapat perhatian warganet. Beliau dipercayai mengalami kecederaan jenis ‘compression fracture T12’ yang menjejaskan bahagian bawah tulang belakangnya.
Dalam satu kenyataan, pihak hospital mengesahkan kecederaan tersebut melalui nota discaj yang dikeluarkan, sekaligus membenarkan beliau berehat untuk rawatan lanjutan.
Baca lagi | Peniaga Belon di Jalan TAR Tolak Anggota DBKL Selepas Teguran Ketiga
Abang Belon Buat Laporan Polis, Ini Respon Ketua Polis KL
Menurut Rusdi lagi, pihaknya menerima laporan polis terbaru daripada Muhammad Zaimuddin yang hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi semalam sekitar jam 11.09 pagi. Namun begitu, polis memutuskan untuk tidak membuka kertas siasatan baharu berikutan laporan tersebut dianggap selaras dan konsisten dengan siasatan terdahulu.
“Kami telah merakam keterangan dua individu lain, termasuk pihak pembekal belon kepada Muhammad Zaimuddin. Semua kenyataan ini selari dengan laporan yang dibuat oleh ibunya sebelum ini,” jelas Rusdi.
Kes Abang Belon: Siasatan di Bawah Pelbagai Seksyen Undang-Undang
Pihak polis kini sedang melengkapkan kertas siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan atas tuduhan ugutan jenayah. Selain itu, dua kertas siasatan terdahulu di bawah Seksyen 186 dan 325 Kanun Keseksaan telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan lanjut.
Datuk Rusdi menegaskan bahawa pihak polis akan terus menjalankan siasatan secara menyeluruh dan telus tanpa mengira latar belakang mana-mana individu yang terlibat.