Pembentukan kerajaan baru yang melibatkan UMNO telah meninggalkan anggota Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Maszlee Malik dengan “hati yang berat.”
Bekas Menteri Pendidikan menulis di Twitter untuk menerangkan sebab beliau telah menukar sokongannya dari Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk calon Perdana Menteri.
Dalam satu siri tweet, beliau berkata sebelum memutuskan untuk menukar sokongannya, beliau telah berunding dengan mereka yang rapat dengannya dan melakukan ‘solat istikarah’.
Tambahnya, orang ramai telah mengingatkan siapa dirinya dan mengapa beliau menceburi bidang politik serta kenapa rakyat Simpang Renggam memilih untuk mengundinya dahulu.
“Mereka tidak akan redha untuk saya bekerjasama dengan watak-watak yang sama-sama kami jatuhkan sewaktu PRU14, lantas meninggalkan rakan-rakan seperjuangan yang sama-sama berkorban dari awal.
“Keputusan ini adalah muktamad, kepentingan negara perlu mengatasi kepentingan politik,” katanya dalam ciapan tersebut.
Beliau pada masa mengakui bahawa perkara yang dibuat itu adalah sangat berat untuk dilaksanakan, dan membuatkan beliau mempersoalkan diri sendiri samada sudah bersedia untuk menerima UMNO semula.
Ini kerana kebanyakkan daripada mereka memberikan pendapat agar tidak mengkhianati pengorbanan dan undian dibuat oleh rakyat sebelum ini.
“Jangan khianati pengorbanan dan undi yang telah kami berikan kepada YB sehingga meletakkan YB sebagai wakil kami di Parlimen.
“Saya berbincang dengan mereka yang dekat dengan saya, dan saya telah melakukan istikharah memohon petunjuk Allah.
Susulan itu, Maszlee pada akhirnya tekad untuk membuat keputusan yang amat berat pada jam 4 petang Sabtu.
Beliau juga menzahirkan perasaan sayang dan telah pun berpihak kepada Perdana Menteri ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin sejak dari awal lagi.
“Saya akui saya sayang dan bersama Tan Sri Presiden sejak dari awal, malah membulatkan tekad bersama beliau dan meyakini beliau adalah calon PM bagi parti.
“Namun bukanlah sehingga menghampakan undi rakyat yang telah meletakkan kita di kedudukan kita pada hari ini. Rakyat pulang mengundi pada PRU 14 yang lalu untuk tumbangkan regim kleptokrasi UMNO-BN. Itu pasti,” jelasnya lagi.
“Di dalam politik, saya orang baharu. Tetapi prinsip sayangkan negara, letakkan kepentingan negara melebihi kepentingan politik, telah lama ada.
“Saya memohon maaf atas kekhilafan saya selama ini. Terima kasih kepada rakan-rakan yang menegur,” katanya.
Namun akhir sekali, jelasnya ini semua adalah demi rakyat dan negara.
“Biar putih tulang, jangan putih mata. Membujur lalu melintang patah. Terus berjuang dan kekal berprinsip. Dari rakyat kita datang, kepada rakyat kita kembali,” tambah Maszlee menerusi satu kenyataan panjang di Twitter peribadinya.