Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kini berhadapan dengan masalah kewangan yang serius, di mana Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mendakwa bahawa akaun parti tersebut telah dibekukan lebih daripada tempoh yang dibenarkan oleh undang-undang. Dalam Mesyuarat Agung Tahunan Bersatu, Muhyiddin mendedahkan bahawa pembekuan akaun ini, yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), telah menyebabkan kesukaran dalam menguruskan kewangan parti.
Akaun Dibekukan SPRM Melebihi Tempoh Sah Undang-Undang – Bersatu
Menurut Muhyiddin, akaun Bersatu telah dibekukan lebih daripada 12 bulan, walaupun tiada sebarang pertuduhan dikenakan terhadap parti tersebut. Ujar beliau, hal ini tidak adil dan melanggar prinsip perlembagaan memandangkan partinya itu tidak pernah didakwa dengan kesalahan jenayah semasa sidang media yang diadakan selepas mesyuarat tersebut.
Muhyiddin juga menegaskan bahawa percubaan Bersatu untuk membuka akaun bank baharu turut disekat, yang memburukkan lagi keadaan kewangan parti. “Kami tidak dapat mengakses dana kami dan ini memberi kesan kepada operasi parti serta kewangan kami,” tambahnya.
Baca lagi | “Bersatu Sedia untuk Pilihan Raya Mengejut!” – Azmin Ali
Bersatu Bakal Ambil Tindakan Undang-Undang Terhadap SPRM
Bersatu kini sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkuasa yang bertanggungjawab atas pembekuan akaun ini termasuk pihak bank yang tidak membenarkan Bersatu mengakses dana mereka. Tindakan ini, menurutnya, adalah untuk memastikan hak parti di bawah Perlembagaan Malaysia tidak terjejas.
Selain itu, Muhyiddin memaklumkan bahawa parti telah memfailkan permohonan di mahkamah untuk membatalkan pembekuan akaun mereka, namun perbicaraan yang dijadualkan pada tahun ini terpaksa ditangguhkan kepada 23 Januari tahun depan.
Bersatu Hadapi Cabaran Kewangan Kritikal
Bendahari Agung Bersatu, Datuk Seri Rina Harun, turut mengesahkan bahawa kewangan parti kini berada dalam keadaan kritikal. Menurut beliau, situasi ini menyukarkan parti untuk bertemu dengan akar umbi kerana terpaksa bergantung pada sumbangan ahli parti disebabkan kesukaran mengakses dana.
Pada masa yang sama, Muhyiddin turut mengingatkan pemimpin bahagian Bersatu agar tidak menganggap mereka boleh memegang jawatan selama-lamanya dan perlu lebih proaktif dalam usaha memperkukuh parti. Beliau menegaskan bahawa setiap bahagian parti mesti mempunyai sekurang-kurangnya 10 cawangan bagi memastikan pertumbuhan dan kekuatan parti di peringkat akar umbi.
Baca lagi | Bekas ADUN ‘YB Gengster’ Bertanding Pemilihan Bersatu Bahagian Hang Tuah Jaya
Isu Kepimpinan Bersatu dan Perancangan Pilihan Raya
Mengulas tentang kekuatan organisasi, Muhyiddin juga menekankan pentingnya setiap bahagian parti untuk terus berkembang. Jelas beliau, amat memalukan jika sesebuah bahagian hanya mempunyai tiga cabang selepas sekian lama, sedangkan sepatutnya setelah sekian lama menapak, parti itu sepatutnya sudah mempunyai sekurang-kurangnya 10 cawangan.
Dalam isu lain, Bersatu turut mengkaji semula cadangan untuk menambah peruntukan kerusi di Sarawak, dengan fokus pada kawasan yang berpotensi untuk dimenangi pada Pilihan Raya Negeri Sarawak 2026. Pada masa ini, Bersatu tidak bertanding di Sarawak, sebaliknya memilih untuk berkerjasama dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS).