Washington, 5 November 2024 – Tumpuan dunia, termasuk Malaysia, kini tertumpu kepada Amerika Syarikat (AS) hari ini kerana lebih 62 juta rakyat AS dijangka keluar mengundi untuk memilih siapakah Presiden AS yang seterusnya di antara Trump dan Kamala Harris dalam Pilihan Raya Presiden AS 2024. Pemilihan ini dijalankan sama ada melalui pos atau secara fizikal di pusat-pusat mengundi seluruh negara. Pilihan raya kali ini bukan sahaja akan menentukan haluan politik dan ekonomi AS, tetapi turut memberi impak besar kepada ekonomi global, termasuk Malaysia.
Baca lagi | Protes Indonesia: Ribuan Penunjuk Perasaan Membanjiri Jakarta Tolak Semakan Undang-Undang Pilihan Raya
Kepentingan Pilihan Raya Presiden AS
Pilihan Raya Presiden AS sentiasa menjadi perhatian dunia kerana keputusan ini berpotensi mengubah landskap ekonomi dan politik antarabangsa. Tahun ini, pilihan raya ini lebih penting kerana keputusan yang diambil oleh pengundi AS akan mempengaruhi pergerakan pasaran modal, harga komoditi, dan nilai mata wang. Semua faktor ini akan memberi kesan langsung kepada perdagangan dan ekonomi negara-negara lain, termasuk Malaysia yang bergantung kepada hubungan dagang dengan AS.
Menurut catatan pilihan raya 2020, parti Demokrat berjaya mengalahkan Republikan dengan perbezaan 4.5 peratus dalam undi popular. Joe Biden memperoleh 51.3 peratus undi manakala Donald Trump memperoleh 46.8 peratus. Kini, calon utama, Trump dan Naib Presiden Kamala Harris, sekali lagi berhadapan dalam pertarungan yang sengit, dengan isu-isu ekonomi menjadi topik utama yang mempengaruhi undian.
Perbandingan Calon: Trump vs. Harris
Dalam pilihan raya kali ini, Trump terus mendapat sokongan kuat daripada pengundi yang mempercayai beliau lebih kompeten dalam mengendalikan isu ekonomi. Sebaliknya, Kamala Harris semakin mendapat kepercayaan pengundi, yang menandakan jurang keyakinan semakin mengecil antara kedua-dua calon. Berdasarkan tinjauan yang dijalankan oleh The New York Times/Kolej Siena, walaupun petunjuk ekonomi utama menunjukkan peningkatan dan inflasi semakin reda, majoriti pengundi AS masih merasakan keadaan ekonomi negara adalah sederhana atau lemah.
Di platform media sosial seperti X (sebelum ini dikenali sebagai Twitter) dan TikTok, terdapat sokongan yang lebih menonjol kepada Kamala Harris. Ini mencerminkan bahawa media sosial menjadi alat utama dalam mencipta persepsi pengundi terhadap calon-calon.
Baca lagi | Kempen Pilihan Raya Amerika Syarikat Semakin Panas Susulan Tragedi Donald Trump Ditembak
Implikasi Terhadap Ekonomi Malaysia
Kesan pemilihan presiden ini kepada Malaysia dan negara lain amat ketara. Apa sahaja keputusan pilihan raya, perubahan dasar dan polisi AS yang berkaitan dengan perdagangan, cukai, dan penggabungan syarikat besar pasti mempengaruhi ekonomi dunia. Malaysia perlu bersiap sedia menghadapi tempoh peralihan ini kerana ia mungkin membawa kepada ketidaktentuan ekonomi dalam jangka masa pendek.
Pengamat ekonomi tempatan menjangkakan sebarang perubahan dasar di AS akan memberi kesan kepada pasaran modal global dan sektor eksport Malaysia. Ini termasuk impak kepada harga komoditi utama seperti minyak kelapa sawit dan produk elektronik yang menjadi komoditi eksport utama negara.