Pasaran telefon flagship di Malaysia kini semakin meriah selepas pengumuman ketersediaan Google Pixel 9 di negara ini. Walaupun Google Pixel 9 menawarkan spesifikasi menarik dengan sokongan AI terkini, harganya yang bermula dari RM3,999 untuk varian paling rendah dan mencecah RM6,799 untuk varian Pixel Pro 9 XL mungkin agak mengecewakan bagi sesetengah pembeli. Bagi mereka yang mencari alternatif yang lebih mampu milik tanpa mengorbankan prestasi, berikut adalah lima pilihan terbaik yang boleh dipertimbangkan.
1. Samsung Galaxy S24+
Samsung Galaxy S24+ adalah pilihan utama bagi mereka yang mencari telefon flagship pada harga lebih berpatutan. Dengan harga sekitar RM4,000, telefon ini menawarkan RAM 12GB dan storan 512GB. Skrinnya yang bersaiz 6.7-inci menggunakan panel Dynamic LTPO AMOLED 2X menyokong kadar penyegaran 1-120Hz dan kecerahan puncak 2,600 nits. Dikuasakan oleh cip Exynos 2400, Galaxy S24+ menawarkan prestasi yang lebih baik berbanding Tensor G4 pada Pixel 9.
Kelebihan:
- Kamera telefoto 10MP
- Pengecasan berwayar 45W
- Samsung DeX untuk produktiviti
- Sokongan kemas kini OS selama 7 tahun
Kekurangan:
- Tiada pengecasan wayarles
2. Xiaomi 14
Xiaomi 14 merupakan pilihan yang menarik untuk mereka yang mencari telefon kompak dengan spesifikasi hebat. Bermula dari RM3,799, telefon ini dilengkapi dengan RAM 12GB dan storan 256GB, serta skrin 6.36-inci LTPO AMOLED 120Hz. Cip Snapdragon 8 Gen 3 memastikan prestasi tinggi, dan sistem kameranya menampilkan tiga kamera beresolusi 50MP yang ditala oleh Leica. Dengan pengecasan berwayar 90W dan pengecasan wayarles pantas 50W, Xiaomi 14 adalah pilihan yang kuat.
Kelebihan:
- Skrin LTPO AMOLED 120Hz
- Pengecasan berwayar 90W dan wayarles 50W
- Cip Snapdragon 8 Gen 3
Kekurangan:
- Kapasiti bateri 4,610mAh
Baca lagi | Samsung Kembali Mendominasi Pasaran Telefon Pintar
3. Vivo X100
Vivo X100 menawarkan prestasi tinggi dengan harga yang sangat kompetitif, bermula dari RM3,499. Telefon ini dilengkapi dengan cip MediaTek Dimensity 9300, RAM 16GB, dan storan 512GB. Telefon ini mempunyai skrin melengkung LTPO AMOLED 6.78 inci menyokong kadar penyegaran 1-120Hz. Selain itu, Vivo X100 menawarkan pengecasan berwayar pantas 120W dan kapasiti bateri 5,000mAh. Namun, ia tidak menyokong pengecasan wayarles.
Kelebihan:
- Kamera telefoto ZEISS 64MP
- Pengecasan berwayar 120W
- RAM 16GB dan storan 512GB
Kekurangan:
- Tiada pengecasan wayarles
4. Honor Magic 6 Pro
Honor Magic 6 Pro adalah pilihan yang kuat untuk mereka yang mencari telefon dengan sistem kamera yang canggih dan prestasi tinggi. Dikuasakan oleh cip Snapdragon 8 Gen 3, telefon ini menawarkan skrin melengkung LTPO OLED 6.8-inci dan kamera periskop telefoto 180MP yang mampu zum sehingga 100x. Kapasiti bateri 5,600mAh dengan pengecasan pantas 80W dan pengecasan wayarles 66W menambah lagi nilai telefon ini, walaupun harganya sedikit tinggi pada RM4,999.
Kelebihan:
- Kamera periskop telefoto 180MP
- Pengecasan pantas 80W dan pengecasan wayarles 66W
- Skrin LTPO OLED 1-120Hz
Kekurangan:
- Harga agak tinggi
5. iPhone 15
Untuk mereka yang lebih memilih ekosistem Apple, iPhone 15 adalah alternatif yang patut dipertimbangkan. Dengan cip Apple A16 Bionic dan skrin 6.1-inci OLED, iPhone 15 menawarkan prestasi yang baik walaupun skrin tidak menggunakan teknologi LTPO dan hanya menyokong kadar penyegaran 60Hz. Harganya bermula dari RM4,399 untuk storan 128GB, tetapi jika ada diskaun, anda boleh mendapatkannya di bawah RM4,000.
Kelebihan:
- Cip Apple A16 Bionic
- Sokongan kemas kini OS panjang
- Pengecasan wayarles magnetik 15W
Kekurangan:
- Tiada kamera telefoto
- Kapasiti bateri lebih kecil
Dengan pelbagai pilihan ini, anda boleh memilih telefon yang sesuai dengan keperluan dan bajet anda, tanpa perlu mengorbankan prestasi atau ciri-ciri penting. Selamat memilih telefon pintar terbaik untuk anda!