Jangan dilupakan aspek keselamatan elektrik terutamanya berkaitan litar pintas dalam keterujaan menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan mengamalkan pelbagai langkah bagi memastikan anda sekeluarga selamat daripada perkara yang tidak diingini.
Dalam perkongsian di bawah, Profesor Ir. Dr. Mohd Zainal Abidin Ab. Kadir, yang merupakan Pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Fakulti Kejuruteraan di Universiti Putra Malaysia, berkongsi mengenai lima langkah pencegahan litar pintas untuk dijadikan perhatian anda pada musim perayaan ini.
Panduan Cara Selamat Cegah Litar Pintas
#1. Periksa Soket Sebelum Anda Guna
Di belakang setiap soket di rumah anda sebenarnya terdapat sebuah kotak yang telah dipasang dengan pelbagai jenis wayar.
Terdapat beberapa punca yang menyebabkan masalah litar pintas yang biasa dikaitkan dengan soket seperti jangka hayat, sambungan wayar yang kendur atau kerosakan pada pendawaian soket.
Walaupun sukar untuk mengesan isu ini kerana ia tersembunyi di dalam dinding, langkah terbaik adalah memeriksa soket sebelum menggunakannya.
Semasa memeriksa soket, terdapat beberapa perkara tertentu yang perlu diperhatikan untuk mengetahui sama ada soket tersebut mungkin berisiko menyebabkan litar pintas atau tidak.
Jika terdapat tanda-tanda kesan melecur atau bau terbakar pada soket, ini mungkin menunjukkan masalah dengan soket tersebut.
Baca lagi | Gelombang Haba Landa Asia
Selain itu, jika soket mengeluarkan bunyi berdengung, meletus atau mengeluarkan percikan api semasa digunakan, maka ia harus dielakkan kerana tanda-tanda ini menunjukkan risiko yang besar.
#2. Periksa Setiap Peralatan Sebelum Anda Gunakannya
Sebelum memasang peralatan kepada soket, adalah penting untuk memeriksanya. Ini kerana perkakas yang rosak atau mempunyai pendawaian yang rosak boleh menyebabkan litar pintas.
Anda juga perlu tahu, walaupun soket tidak mempunyai masalah, tetapi pemasangan perkakas yang rosak juga boleh merosakkan soket dan menyebabkan litar pintas menjadi lebih teruk.
Jangan gunakan peralatan elektrik yang mempunyai kerosakan seperti kabel, sarung (casing), atau retakan pada peralatan tersebut.
Malah, anda juga dinasihatkan supaya berhati-hati dengan semua peralatan yang memiliki litar yang terdedah dan adalah lebih baik jika anda membuang peralatan tersebut atau membaikinya dengan cara profesional.
#3. Semasa Ribut Petir Anda Perlu Kurangkan Penggunaan Elektrik
Malaysia mempunyai kadar panahan petir yang tertinggi di dunia. Oleh itu, penggunaan elektrik pada tahap minimum semasa ribut petir sangat disarankan, ini akan membantu anda mengelakkan litar pintas dan mengehadkan kerosakan sekiranya lonjakan kuasa berlaku.
Baca lagi | Aira Mara ke Pusingan Akhir Skuasy Terbuka Irish
Sama ada anda percaya atau tidak, sambaran petir merupakan cara yang boleh sebabkan litar pintas.
Merupakan litar pintas yang paling bahaya. jenis ini akan menyebabkan berlakunya beberapa kerosakan yang sangat teruk yang berpunca daripada aliran arus dan voltan yang tinggi.
#4. Buat Penyelenggaraan Rapi Pada Pemutus Litar
Pemutus litar, yang dikenali sebagai perlindungan tetap terhadap litar pintas, terdapat dalam setiap sistem elektrik rumah. Pemutus litar ini berfungsi untuk mematikan arus elektrik yang tidak stabil.
Penting untuk menjalankan penyelenggaraan berkala agar pemutus litar sentiasa berfungsi dengan baik. Anda boleh memeriksa kerosakan seperti keretakan atau pemasangan yang longgar untuk memastikan pemutus litar berfungsi dengan betul.
Selain itu, membersihkan pemutus litar dan panel dengan menggunakan kain kering juga dapat memastikan kebersihannya dari kotoran atau kesan lain.
#5. Buat Jadual Pemeriksaan Elektrik Secara Tahunan
Pemeriksaan elektrik tahunan dapat mengurangkan risiko litar pintas.
Ketika pemeriksaan dilakukan, orang yang kompeten akan memeriksa keseluruhan sistem elektrik anda bagi kenalpasti isu yang mungkin boleh sebabkan potensi risiko untuk litar pintas dan beberapa masalah elektrik yang lain.
Setelah mereka dapat mengenal pasti apakah risiko tersebut, orang yang kompeten akan menawarkan khidmat nasihat iaitu apakah tindakan atau langkah terbaik untuk selesaikan sebarang isu yang ditemui.
Dengan ini, rumah anda dapat didiami dengan selamat.