QAMINAS: Pasukan tentera Syria dan Turki berbalas tembakan, semalam dalam satu lagi pertempuran di barat laut Syria, yang menyaksikan hampir 700,000 orang melarikan diri berikutan meningkatnya keganasan di kawasan terbabit.
Turki yang menyokong puak pemberontak Syria, berkata 5 tenteranya dibunuh oleh tentera Syria di wilayah Idlib sebagai tindak balas terhadap pembunuhan seramai 101 tentera Syria.
Namun, tiada pengesahan tuntutan mengenai perkara ini oleh media Syria mahu pun Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria berhubung kecederaan anggota tentera Syria.
“Tindak balas Turki itu adalah serangan kedua dalam tempoh lapan hari di kawasan Taftanaz, di mana Turki baru-baru ini menghantar pasukan tentera ke sana,” menurut pasukan pemerhati yang berpangkalan di Britain.
Rejim tentera Syria melakukan serangan seminggu lalu berjaya menewaskan 8 askar Turki, menyebabkan tindak balas maut dilakukan tentera Turki.
Pertempuran itu menegangkan hubungan antara Damsyik dan Ankara, malah meningkatkan ketegangan antara Rusia dan Turki – tokoh utama konflik asing yang sedang berlaku ketika ini.
Pasukan tentera Syria yang disokong oleh Moscow melakukan beberapa serangan yang menyasarkan kedudukan benteng pemberontak di barat laut Syria selama lebih dari dua bulan.
“Keganasan di wilayah Idlib dan Aleppo menyebabkan 689,000 melarikan diri. Jumlah yang terkorban dalam krisis ini, semakin meningkat,” menurut jurucakap agensi penyelarasan kemanusiaan PBB (OCHA), David Swanson.
Kementerian Pertahanan Turki, berkata tentera yang disasarkan dalam pertempuran pada Isnin itu, dihantar sebagai “penguatkuasaan untuk mencegah pertempuran lebih buruk di Idlib, selain memastikan keselamatan sempadan negara terjamin serta menghentikan penghijrahan dan tragedi lebih banyak nyawa manusia.”
Kementerian itu turut memberi amaran bahawa Ankara akan bertindak balas dengan “cara paling keras” jika terdapat sebarang serangan baru.
Menurut media Turki, susulan ketegangan yang semakin memuncak itu, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan mengadakan pertemuan di Ankara dengan menteri, ketua staf tentera dan ketua perisikan pada Isnin untuk meninjau keadaan di Idlib.
Erdogan memberikan amaran kepada Damsyik sehingga akhir bulan ini untuk berundur dari posnya, dan mendesak Russia untuk meyakinkan rejim itu untuk menghentikan serangan itu.
Delegasi Russia sudah berada di Ankara untuk mengadakan perbincangan mengenai Idlib sejak Sabtu, dengan pertemuan lanjut dijangka pada Isnin.
Kedua-dua negara sedang bekerjasama rapat dalam usaha mengekang keganasan di wilayah berkenaan.