Ningbo, China – Kejayaan pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, yang berjaya merangkul kejuaraan Badminton Asia Championships (BAC) 2025 bukan sekadar kemenangan biasa, tetapi turut mencipta pelbagai detik bersejarah buat sukan badminton Malaysia.
Dalam perlawanan akhir yang berlangsung penuh dramatik pada Ahad lalu, pasangan utama negara itu menewaskan wakil China, Chen Bo Yang dan Liu Yi, dengan straight set 21-19, 21-17 dalam masa 47 minit. Perlawanan tersebut bukan sahaja mengukuhkan kedudukan mereka dalam arena badminton Asia, tetapi turut menamatkan beberapa rekod lama dan membuka lembaran baharu buat sejarah badminton Malaysia.
Fakta Menarik Kejayaan Aaron Chia-Wooi Yik Di BAC 2025
Berikut adalah empat fakta penting di sebalik kejayaan mereka:
Gelaran Juara Asia Pertama Buat Aaron-Wooi Yik
Sejak digandingkan pada tahun 2015, beregu lelaki Malaysia ini telah berjaya mencatat pelbagai pencapaian hebat, termasuk gelaran juara dunia pada 2022 serta BAC 2025 yang kini menjadi trofi juara Asia pertama mereka.
Pada edisi 2022, mereka hanya mampu muncul sebagai naib juara apabila ditewaskan oleh pasangan Indonesia, Pramudya Kusumawardana dan Yeremia Rambitan. Tiga tahun kemudian, mereka membuktikan kematangan dan peningkatan dengan muncul sebagai juara mutlak.
Tamatkan Kemarau 17 Tahun Kejuaraan Beregu Lelaki
Kemenangan yang dirangkul beregu lelaki badminton negara ini juga menamatkan kemarau kejuaraan beregu lelaki selama 17 tahun di pentas Asia bagi Malaysia. Kali terakhir trofi BAC dijulang negara bagi kategori ini adalah pada tahun 2007, yang berjaya diperoleh menerusi pasangan legenda Choong Tan Fook dan Lee Wan Wah.
Kini, Aaron dan Wooi Yik menjadi pasangan beregu lelaki ke-6 Malaysia yang berjaya meraih gelaran juara Asia. Dengan trofi ini, mereka turut mengukuhkan kedudukan sebagai antara pasangan terbaik dalam sejarah badminton negara.
Baca lagi | Justin Rose Dominasi Hari Pertama Kejohanan Masters 2025
Rekod Tanpa Kalah di BAC 2025
Terdapat satu lagi kejayaan yang membanggakan dari beregu ini ialah rekod sempurna yang dicipta oleh Aaron-Wooi Yik sepanjang kejohanan BAC 2025. Menariknya, Aaron dan Wooi Yik tidak tewas walaupun satu set sejak pusingan pertama sehingga ke perlawanan akhir.
Di bawah bimbingan jurulatih tersohor Indonesia, Herry Iman Pierngadi, mereka menampilkan strategi permainan yang lebih agresif, bertenaga dan matang, sekali gus menundukkan semua pencabar dengan gaya yang cukup meyakinkan.
Baca lagi | Lee Zii Jia Tidak Beraksi di Terbuka India dan Masters Indonesia 2025
Ganjaran Lumayan: RM164,000 & 12,000 Mata Ranking BWF
Menjuarai kejohanan berstatus tinggi seperti BAC, yang setaraf dengan BWF Super Series 1000, bukan sahaja memberi kebanggaan, malah turut menjanjikan imbuhan yang besar.
Sebagai pemenang, Aaron-Wooi Yik membawa pulang hadiah kemenangan sebanyak USD37,000 (kira-kira RM163,808) serta 12,000 mata ranking BWF, yang dijangka meningkatkan lagi kedudukan mereka dalam senarai beregu lelaki terbaik dunia.
Kemenangan ini jelas membuktikan bahawa Aaron Chia dan Soh Wooi Yik bukan sekadar pasangan harapan, malah kini menjadi ikon baharu badminton Malaysia. Dengan prestasi mantap dan dedikasi tinggi, mereka bakal terus memberi cabaran dalam kejohanan besar akan datang, termasuk Sukan Olimpik Paris 2024.