Cara urus kewangan yang betul dan bijak akan memudahkan kehidupan kita terutama ketika sedang menghadapi krisis ekonomi yang tidak menentu ini. Kenaikan harga barang dengan gaji yang masih di takuk lama akan memberi kesan yang serius sekiranya kita masih lagi berbelanja tanpa had dan tanpa keperluan.
Oleh itu, melalui perkongsian kali ini, kami akan kongsikan beberapa tips urus kewangan secara bijak yang boleh kita semua praktikkan. Jom lihat!
Senarai Tips Cara Pengurusan Kewangan Yang Bijak
Berikut merupakan beberapa tips pengurusan kewangan yang boleh anda jadikan panduan iaitu:
#1. Buat Pengiraan Pendapatan Bersih Sebulan
Perkara pertama sebagai cara urus kewangan yang betul adalah anda perlu buat kiraan berapakah pendapatan bersih.
Mungkin bagi anda yang baharu bekerja agak susah untuk bermula, tetapi jika tidak mulakan langkah pertama sampai bila-bila hidup akan terhimpit dan tersepit.
Tolak semua perbelanjaan dan komitmen yang penting dan wajib anda lunaskan pada setiap bulan. Letak ketepi dahulu lebihan yang anda peroleh setelah membuat semua penolakan tersebut.
#2. Kawal Nafsu Belanja
Benda yang buat kita sukar untuk disiplin adalah nafsu. Oleh itu, anda perlu kawal nafsu untuk berbelanja dan hadkan diri hanya membeli barang keperluan sahaja bukannya kehendak.
Sesetengah orang menganggap, perlu ada reward untuk diri sendiri, ada betulnya apa yang diperkatakan.
Tetapi perlu juga dilihat apakah anda mampu untuk reward kan diri? Sekiranya dengan merewardkan diri anda tidak menggunakan wang untuk komitmen bulanan, lakukan!
#3. Tetapkan Sasaran atau Target
Setiap perkara yang kita lakukan perlu ada sasaran! Kalau tak ada sasaran, kita akan mula hilang arah.
Belum sampai ke tengah jalan pun lagi, kita dah cakap diri kita tak mampu. Buat sasaran untuk apa anda simpan duit dan bahagikan perbelanjaan.
Jika rasa susah, boleh luangkan masa untuk belajar atau ambil kursus pengurusan kewangan.
Nak lagi mudah, boleh minta nasihat dari orang yang sudah banyak pengalaman atau buka Youtube dan belajar mengenai pengurusan kewangan.
Baca lagi | Ini 14 Tips Resume Paling Terbaik Untuk Senang Dapat Kerja
#4. Buat Akaun Simpanan Secara Berasingan
Tips pengurusan kewangan yang seterusnya adalah dengan membuka akaun simpanan secara berasingan.
Buka satu akaun yang dikhaskan untuk simpanan dan tidak boleh diusik tanpa kad debit untuk sukarkan anda mengeluarkannya.
Kalau ada kad debit, bila-bila masa anda akan keluarkan di mesin atm. Bila tak ada kad debit, anda pun malas untuk berurusan dengan pihak bank.
#5. Simpan Semua Resit
Kadang-kadang kita lupa dan keliru ke mana duit yang kita sudah belanjakan. Oleh melalui saat ini, cuba simpan semua resit anda berbelanja.
Anda boleh jejak dengan mudah ke mana duit tersebut sudah dibelanjakan.
Melalui resit ini juga, ia dapat memudahkan anda untuk terus buat kiraan harga barang untuk membeli sekiranya harga barang tiada kenaikan.
#6. Belanja Ikut Keperluan
Antara sebab kita tak cukup duit setiap hujung bulan adalah disebabkan berbelanja ikut kemahuan bukan keperluan. Oleh itu, selagi anda tak perlu sesuatu benda jangan beli!
#7. Elak Makan Di Luar
Cara urus kewangan dengan bijak yang seterusnya adalah elakkan dari makan di luar rumah. Jika anda nak tahu, dengan berbuat sedemikian anda boleh jimatkan wang sebanyak 50%.
#8. Elak Guna Kad Kredit
Jangan guna kad kredit! Ini tips kewangan yang paling penting perlu anda ikut. Kad kredit ini akan membuatkan anda berbelanja besar sedangkan perbelanjaan yang dibuat itu dikira sebagai hutang yang perlu anda lunaskan.
Bukan sahaja berbelanja besar, anda juga akan sukar kawal diri dari membeli.
Baca lagi | Rawat Masalah Rabun Dengan 10 Petua Mudah Ini!
#9. Sentiasa Catat Aliran Duit Keluar Masuk
Buat satu akaun untuk catat segala aliran duit keluar dan masuk. Hal ini bagi memudahkan kita melihat perbelanjaan harian yang kita telah lakukan pada setiap bulan.
Dengan cara urus kewangan ini juga, kita dapat lihat di mana lagi tempat yang boleh kita berjimat.
#10. Lakukan Semua Penjimatan Yang Boleh
Selain kewangan, anda juga perlu jimatkan perkara lain contohnya seperti penggunaan elektrik dan air.
Untuk bil telefon pula, pilihlah pakej yang paling jimat dan elakkan membuat panggilan berbayar.
#11. Buat Sasaran Penjimatan
Sasarkan berapa penjimatan yang boleh anda lakukan secara bulanan atau tahunan. Duit yang kita sasarkan itu, boleh digunakan untuk bercuti atau apa sahaja yang kita inginkan.
Tetapi ingat, jangan habiskan keseluruhan simpanan!
#12. Guna Duit Simpanan Untuk Bayar Hutang
Duit lebihan atau simpanan yang anda buat, selain dari pergi bercuti anda juga boleh selesaikan hutang atau pinjaman yang anda lakukan.
Cara urus kewangan ini juga sebenarnya dapat membantu anda dari disenarai hitam dan susutkan hutang sedia ada.
#13. Buat Pelaburan Untuk Jana Pendapatan Pasif
Antara cara pengurusan kewangan yang bijak adalah dengan melabur! Selain membayar hutang atau membeli barang tidak penting, anda juga boleh jana pendapatan melalui lebihan duit dengan cara melabur!
Namun, sebelum anda melabur tuntut dulu ilmu mengenai pelaburan, dan jangan sesekali melabur di tempat yang salah dan tidak dipercayai!
#14. Simpan Untuk Persaraan
Selain itu, anda juga perlu fikirkan hari tua nanti. Hidup tak selamanya muda dan tak selamanya sihat.
Simpan duit untuk persaraan nanti agar anda tidak perlu keluar bekerja di usia yang sudah senja. Boleh simpan melalui KWSP atau mana-mana tempat yang dijamin selamat.
#15. Sentiasa Bersedekah
Antara cara untuk sentiasa murah rezeki adalah melalui sedekah. Pastikan setiap hari anda bersedekah terutama sedekah subuh.
Sedekah bukan sahaja membuatkan harta kita bertambah tetapi turut membuatkan ia berkat dan diredhai Allah.
#16. Disiplin Diri
Buat apa pun kalau tidak ada disiplin, semua benda tak akan jadi. Jadi, penting untuk disiplinkan diri walau apa pun rintangan yang bakal dan sedang anda lalui.
Semoga dengan perkongsian di atas, anda sudah faham cara urus kewangan dan mula buka langkah dengan menggunakan semua tips pengurusan kewangan di atas! Semoga berjaya!