Kuala Lumpur, 19 April 2025 – Konflik rumah tangga membabitkan pelakon Abby Abadi, anaknya Marissa Dania Hakim, dan menantunya Ahmad Aslam semakin mencuri perhatian ramai apabila semakin banyak pihak tampil memberikan pandangan di media sosial.
Apa yang menjadi tumpuan ramai kini ialah nasib isteri pertama Aslam, Umisya Mazlan, yang didakwa menjadi mangsa keadaan dalam pergolakan rumah tangga tersebut. Netizen menyuarakan rasa simpati terhadap Umisya yang bukan sahaja kehilangan suami kepada wanita lain, malah terus dihimpit dengan pelbagai gangguan emosi akibat konflik yang berpanjangan.
Netizen Bersuara: “Tolong Jangan Seret Umisya Lagi”
Seorang pengguna media sosial, menggunakan nama @jueazhar_ di Threads, meluahkan kekesalan terhadap situasi yang menimpa Umisya.
“Eloklah londehkan aib masing-masing seolah-olah sempurna belaka diri itu. Semua pun sama, tapi satu, jangan ganggu Umisya tu. Dia itu mangsa keadaan – suami dia kena rampas, lepas tu dia pula kena kacau,” luahnya.
Pengguna itu juga menyeru semua pihak untuk lebih berempati terhadap wanita itu, yang jelas melalui pengalaman yang menyakitkan.
Baca lagi | Marissa Dania Hakim Bersalin Pramatang, Bayi Meninggal Dunia Ketika Dilahirkan
Perkahwinan Rahsia Marissa dan Aslam di Thailand
Untuk rekod, Marissa Dania sah menjadi isteri kedua kepada Aslam dalam satu majlis yang berlangsung secara rahsia di Songkhla, Thailand pada Disember 2023, ketika Umisya berada di tanah suci untuk menunaikan umrah.
“Bayangkan sakitnya perasaan seorang isteri bila dapat tahu suaminya kahwin lain secara diam-diam semasa dia sedang beribadah. Lepas bersalin pun masih lagi disakiti emosi dan perasaan. Sekarang pula, masih mahu seret dia dalam drama keluarga?” ujar seorang lagi pengguna media sosial.
Baca lagi | Madu Marissa Dania, Umisya Mazlan Sahkan Hamil Anak Ketiga
Konflik Abby Abadi dan Aslam Belum Tamat
Sebelum ini, hubungan antara Abby Abadi dan menantunya, Ahmad Aslam, dilanda ketegangan apabila wujud desakan agar kedua-duanya memohon maaf kepada Umisya. Namun begitu, Abby mempertahankan pendiriannya dengan menegaskan bahawa Aslam yang sepatutnya menunjukkan rasa tanggungjawab dengan memohon maaf secara bersemuka.
Pergolakan ini mendapat perhatian meluas kerana melibatkan figura dikenali ramai, namun dalam keghairahan masyarakat mengikuti perkembangan isu ini, suara-suara yang mempertahankan Umisya Mazlan semakin kuat kedengaran.
Hormati Privasi dan Lindungi Umisya
Dalam dunia yang dipenuhi media sosial, pendedahan kisah peribadi boleh memberi kesan besar kepada mangsa, khususnya wanita seperti Umisya. Ramai menyeru agar masyarakat lebih sensitif dalam menangani isu sebegini dan mengelakkan daripada terus “mengheret” mereka yang tidak bersalah ke kancah konflik yang tidak berkesudahan.
“Tepuk dada, tanya iman. Jangan kerana emosi kita lupa kemanusiaan,” pesan netizen.