Touch ‘n Go e-Dompet kini menerima pakai QR DuitNow iaitu QR Standard Kebangsaan Malaysia dan menyertai ekosistem DuitNow, dikendalikan oleh Payments Network Malaysia (PayNet).
DuitNow QR ditubuhkan di bawah Rangka Kerja Pindahan Kredit Saling Boleh Kendali (ICTF) Bank Negara Malaysia (BNM). ICTF memberi mandat kepada PayNet, sebagai penyedia perkongsian infrastruktur pembayaran negara untuk menjalankan QR standard saling boleh kendali dan umum untuk Malaysia.
Sebanyak 40 bank di Malaysia menjadi sebahagian daripada ekosistem DuitNow, di mana 9 daripadanya telah menawarkan QR DuitNow dalam aplikasi perbankan mudah alih di telefon bimbit.
Sementara itu, 38 bank, e-dompet dan entiti bukan bank juga dijangka akan memulakan pelaksanaan QR DuitNow dalam tempoh enam hingga sembilan bulan akan datang.
Menerusi QR DuitNow, pengguna boleh membuat pembayaran dari mana-mana bank atau aplikasi mudah alih e-dompet yang mengambil bahagian.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet, Peter Schiesser, berkata penyedia e-dompet ketika ini menanggung kos pemerolehan peniaga yang besar kerana mereka perlu mendaftarkan set peniaga yang sama untuk rangkaian proprietari masing-masing.
“Dengan QR DuitNow, seseorang peniaga hanya perlu mendaftar dengan satu pemeroleh bank atau e-dompet, dan pelanggan semua bank dan e-dompet yang mengambil bahagian boleh membuat pembayaran.
QR DuitNow kepada peniaga berkenaan menggunakan aplikasi mudah alih masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan.
Touch ‘n Go e-Dompet sentiasa menyokong keterangkuman kewangan dengan memudahkan rakyat Malaysia mengamalkan gaya hidup bebas tunai.
Sejak dilancarkan pada 2018, Touch ‘n Go e-Dompet giat mengembangkan jumlah pengguna dan peniaga di seluruh Malaysia.