The Malaysia Post

Tak Perlu Akaun Bank? Gaji Anda Kini Boleh Masuk Terus ke TNG eWallet

KUALA LUMPUR – TNG Digital Sdn Bhd, penyedia utama dompet digital di Malaysia, dalam kenyataan terbarunya mengumumkan bahawa satu kerjasama strategik bersama platform sumber manusia tempatan, Kakitangan.com, bakal dibuat bagi membolehkan pembayaran gaji dilakukan secara langsung ke dalam akaun TNG eWallet pekerja.

Kerjasama ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperluas inklusi kewangan digital, khususnya dalam kalangan pekerja tanpa akses kepada akaun bank konvensional seperti pekerja migran dan golongan berpendapatan rendah.

Pembayaran Gaji Lebih Cekap dan Selamat dengan TNG eWallet

Melalui integrasi teknologi terkini dalam platform Kakitangan.com, majikan kini lebih mudah melaksanakan transaksi pembayaran gaji pekerja. Majikan boleh melakukan pembayaran gaji secara pukal terus ke TNG eWallet pekerja mereka dengan hanya menggunakan ciri “DuitNow Bulk Transfer” dan ciri ini juga turut menyokong transaksi dari mana-mana institusi kewangan utama.

Setiap akaun TNG eWallet yang didaftar juga dilengkapi nombor akaun DuitNow dan ini membolehkan pengguna menerima dana bukan sahaja dari bank, tetapi juga daripada eWallet yang lain. hal ini secara tak langsung meletakkannya setara dengan akaun bank tradisional dari segi fungsi.

Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) turut mengiktiraf TNG eWallet sebagai akaun sah. Pengiktirafan ini untuk tujuan pembayaran gaji yang secara sahnya memberikan jaminan perundangan dan keyakinan kepada majikan serta pekerja terhadap keselamatan dan kesahihan platform ini.

Fungsi Tambahan untuk Pengurusan Kewangan Harian Melalui TNG eWallet

Pekerja yang menerima gaji melalui TNG eWallet turut berpeluang menikmati pelbagai ciri pengurusan kewangan digital, termasuk:

  • Pembayaran tanpa tunai di kedai fizikal dan atas talian melalui kod QR DuitNow dan kad Visa TNG eWallet.
  • Perkhidmatan pemindahan wang ke luar negara (remittance) yang memudahkan pekerja menghantar wang kepada keluarga di negara asal.
  • Pengeluaran tunai melalui ATM menggunakan kad fizikal Visa TNG eWallet.

Ciri-ciri ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan transaksi harian, malah membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia dan warga asing menyertai ekosistem kewangan digital negara.

Misi Inklusif: Inovasi Demi Semua Golongan

Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital, Encik Alan Ni, menyatakan bahawa kolaborasi ini sejajar dengan misi syarikat untuk memperkasa ekonomi digital yang menyeluruh dan adil.

“Kami teruja bekerjasama dengan Kakitangan.com bagi menyediakan penyelesaian pembayaran gaji yang lebih mudah dan inklusif. Dengan lebih 2 juta pengguna TNG eWallet dalam kalangan warga asing, kami yakin bahawa langkah ini akan mengurangkan jurang kewangan digital di Malaysia,” katanya.

Baca juga:

Manakala Pengarah Urusan Kakitangan.com, Encik Effon Koo, menambah bahawa integrasi ini akan memberi kelebihan kompetitif kepada perniagaan kecil dan sederhana (PKS), selain mempercepatkan proses penggajian dengan lebih sistematik.

“Ini bukan sekadar solusi teknologi, tetapi juga satu lonjakan ke arah pengurusan sumber manusia yang lebih moden, selamat dan berkesan. Kami komited untuk membantu lebih banyak syarikat tempatan mendigitalkan operasi mereka,” ujar beliau.

Inisiatif TNG Digital dan Kakitangan.com Ke Arah Ekonomi Tanpa Tunai

Inisiatif bersama antara TNG Digital dan Kakitangan.com ini merupakan satu lagi langkah penting dalam agenda negara untuk membudayakan ekonomi tanpa tunai. Dengan adanya pilihan alternatif seperti eWallet sebagai medium pembayaran gaji, lebih ramai individu kini dapat menikmati kemudahan sistem kewangan digital, tanpa halangan lokasi, status kewarganegaraan atau keperluan untuk membuka akaun bank.

About Syaqiq Al Azdi

Syaqiq Al Azdi adalah seorang penulis laman web WordPress yang mahir
dengan pengalaman selama 5 tahun dalam menghasilkan kandungan yang
menarik dan mesra SEO. Mempunyai Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran
Perniagaan, Syaqiq menggabungkan kepintaran perniagaan dengan
pemahaman mendalam tentang penulisan web, memastikan kandungan
yang dihasilkan selaras dengan keperluan pengguna dan matlamat
perniagaan

Read Previous

Beregu Lelaki Negara Bakal Hilang Ranking No. 1 Dunia

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *