The Malaysia Post

Son Heung Min Mungkin Tinggalkan Spurs Selepas Kejuaraan Liga Europa

SEOUL, 11 Jun 2025 – Masa depan pemain bola sepak ikonik Korea Selatan, Son Heung Min, bersama kelab Tottenham Hotspur terus mencetus persoalan besar apabila beliau mengambil pendekatan berhati-hati mengenai hala tuju karier profesionalnya musim hadapan.

Masa Depan Son Heung Min di Tottenham Hotspur Kini Dipersoal

Selepas membantu Spurs menjulang trofi Liga Europa 2025, kejayaan sulung kelab itu selepas 17 tahun kemarau kejuaraan, Son memberi kenyataan yang mengundang pelbagai spekulasi perpindahan khususnya dikaitkan dengan tawaran lumayan dari kelab di Liga Pro Arab Saudi.

“Daripada berkata apa-apa buat masa ini, saya rasa lebih baik kita semua tunggu dan lihat apa yang akan berlaku,” ujar pemain berusia 32 tahun itu kepada media selepas perlawanan kelayakan Piala Dunia FIFA 2026 menentang Kuwait di Stadium Piala Dunia Seoul, malam tadi.

Trofi Liga Europa Tidak Cukup, Son Heung Min Perlu Fikir Tentang Masa Depan

Walaupun berjaya merangkul trofi Eropah selepas menewaskan Manchester United 1-0 di Bilbao, krisis dalaman Spurs terus berlarutan apabila pengurus utama, Ange Postecoglou, dipecat susulan prestasi hambar dalam saingan Liga Perdana Inggeris. Kelab yang dahulunya digeruni kini menamatkan musim hanya satu anak tangga di atas zon penyingkiran satu tamparan besar kepada reputasi kelab dan pemain utama seperti Heung Min.

Situasi ini sekaligus memberi impak kepada komitmen jangka panjang Heung Min yang kini berbaki satu musim dalam kontraknya bersama kelab London itu. Ramai pemerhati percaya tawaran dari kelab Timur Tengah mungkin sukar ditolak memandangkan faktor umur, prestasi semasa dan nilai pasaran semasa pemain tersebut.

Konsistensi Prestasi Son Heung Min dan Komitmen Nasional

Walaupun berdepan kritikan terhadap prestasi yang dikatakan tidak konsisten musim ini, Son tetap menunjukkan komitmen tinggi kepada negara apabila membantu Korea Selatan layak ke Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico. Kemenangan 2-0 ke atas Iraq dan kemenangan besar 4-0 ke atas Kuwait membolehkan Korea Selatan muncul juara Kumpulan B dalam pusingan ketiga kelayakan Asia tanpa sebarang kekalahan dalam 10 perlawanan.

“Saya tahu ramai yang anggap kami sepatutnya mudah layak dari Asia, tetapi sebenarnya tiada apa yang mudah dalam bola sepak,” katanya lagi.

Baca juga:

Mesej Kepada Peminat dan Harapan Masa Hadapan Son Heung Min

Sebelum meninggalkan padang malam tadi, Heung Min mengetuai pasukan mengelilingi stadium sebagai penghargaan kepada sokongan peminat setia. Dalam ucapannya, beliau berikrar untuk kembali lebih kuat pada musim baharu.

“Saya tidak berada dalam prestasi terbaik sepanjang musim, tetapi saya harap saya akan berada dalam keadaan yang lebih baik menjelang musim baharu nanti. Di mana pun saya berada, saya akan sentiasa berikan yang terbaik.”

Pemerhati bola sepak meramalkan tempoh antara musim ini akan menjadi penentu penting dalam karier Son Heung Min sama ada beliau akan kekal di Eropah atau mengambil langkah strategik ke liga Timur Tengah yang semakin kompetitif dan komersial.

About Syaqiq Al Azdi

Syaqiq Al Azdi adalah seorang penulis laman web WordPress yang mahir
dengan pengalaman selama 5 tahun dalam menghasilkan kandungan yang
menarik dan mesra SEO. Mempunyai Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran
Perniagaan, Syaqiq menggabungkan kepintaran perniagaan dengan
pemahaman mendalam tentang penulisan web, memastikan kandungan
yang dihasilkan selaras dengan keperluan pengguna dan matlamat
perniagaan

Read Previous

Anwar Ibrahim Berjaya Tangguh Kes Saman Yusoff Rawther

Read Next

Lari Tinggal Anak Naik Kapal Cruise, Jofliam Tuduh Cik Epal Abai Anak?

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *