KUALA LUMPUR – Kejadian mendapan tanah baharu telah dikesan di Jalan Masjid India hari ini, kira-kira 50 meter dari lokasi insiden tanah jerlus yang berlaku minggu lalu. Mendapan tersebut dianggarkan berukuran dua kaki dan dipercayai berlaku sekitar 2.30 pagi selepas hujan lebat dan ribut yang melanda pada malam Selasa.
Kawasan Ditutup Sepenuhnya
Tinjauan yang dilakukan di lokasi mendapati kawasan kejadian telah ditutup sepenuhnya oleh pasukan keselamatan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. Orang awam tidak dibenarkan berada di sekitar kawasan tersebut. Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Suliezmy Affendy Sulaiman, mengesahkan kejadian mendapan tanah ini dan memaklumkan bahawa perbincangan sedang dilakukan untuk memperluaskan penutupan jalan. Perkembangan lanjut akan diumumkan kelak.
Kejadian Tanah Jerlus: Operasi SAR Masih Berjalan
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India disambung pagi ini selepas ditangguhkan semalam akibat hujan lebat. Tinjauan Bernama pada pukul 8 pagi mendapati pasukan SAR yang terdiri daripada polis, bomba, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia sudah berada di lokasi kejadian.
Baca lagi | Tanah Jerlus Masjid India: Misi SAR Masuk Hari Keempat, Mangsa Masih Belum Ditemui
Kedudukan Mangsa dan Teknik Carian
Operasi SAR yang kini memasuki hari keenam ini dijadualkan bermula dengan perbincangan mengenai teknik, kaedah, dan penugasan. Kerja survei oleh Jabatan Mineral dan Geosains juga akan melibatkan kawasan dari pintu gerbang Masjid India hingga ke hadapan kawasan masjid. Selain itu, pasukan SAR juga menggunakan pelbagai teknik termasuk anjing pengesan dalam usaha mencari mangsa.
Situasi di Loji Indah Water Konsortium (IWK) Pantai Dalam
Di Loji Indah Water Konsortium (IWK) Pantai Dalam, pasukan SAR tiba pada jam 9.05 pagi dan mula menyusun peralatan yang diperlukan, termasuk alat bantuan pernafasan untuk digunakan oleh anggota yang akan turun ke tangki kumbahan sedalam 15 meter di loji tersebut. Tindakan yang dilakukan ini bergantung kepada situasi semasa operasi di Jalan Masjid India.
Tiada Petunjuk Ditemui
Sejak hari kejadian, pasukan SAR telah melakukan pencarian di tangki berkenaan sebanyak dua kali, iaitu pada Ahad dan Isnin, namun tiada petunjuk keberadaan mangsa ditemukan. Teknik carian permukaan (‘surface searching’) juga telah dilakukan semalam sebelum operasi SAR hari kelima ditangguhkan.