The Malaysia Post

SARA 2025: 5.4 Juta Penerima Bakal Terima Bantuan RM13 Bilion

LANGKAWI Sumbangan Asas Rahmah (SARA) akan memberi manfaat kepada 5.4 juta penerima di seluruh negara menjelang April 2025, dengan jumlah peruntukan sebanyak RM13 bilion. Peningkatan ini adalah kira-kira tujuh kali ganda berbanding jumlah penerima sebelum ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, mengumumkan bahawa peningkatan jumlah penerima ini melibatkan 4.7 juta penerima baharu daripada kalangan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR), yang secara automatik akan dimasukkan ke dalam senarai penerima SARA.

“Ketika ini, terdapat seramai 700,000 penerima SARA. Namun, mulai April 2025, kita akan menambah 4.7 juta penerima baharu daripada penerima STR, menjadikan jumlah keseluruhan penerima SARA meningkat kepada 5.4 juta orang,” katanya dalam sidang media selepas meninjau agihan dan perbelanjaan penerima SARA di Pasaraya Borong Sakan Langkawi, Kuah, hari ini.

Turut hadir dalam sesi itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) Kementerian Kewangan, Datuk Zamzuri Abdul Aziz.

Peningkatan Peruntukan Bantuan SARA

Datuk Seri Amir Hamzah turut memaklumkan bahawa peruntukan bagi SARA dan STR telah meningkat kepada jumlah tertinggi dalam sejarah, iaitu RM13 bilion pada tahun ini, berbanding RM10 bilion pada tahun sebelumnya.

Bantuan SARA juga telah ditambah baik dengan kadar yang lebih tinggi. Isi rumah miskin dan miskin tegar yang tersenarai dalam sistem eKasih bakal menerima bantuan sebanyak RM2,100 bagi tahun 2025, meningkat daripada RM1,200 pada tahun lalu.

Ujar beliau lagi, bagi tempoh Januari hingga Mac 2025, penerima akan menerima bantuan sebanyak RM100 sebulan yang mana ia akan dikreditkan terus ke dalam MyKad penerima. Manakala mulai April 2025, kadar bantuan SARA ini akan dinaikkan kepada RM200 sebulan,” jelasnya.

Baca lagi | Semakan Status Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2023

Penggunaan MyKad untuk Pembelian Keperluan Asas Melalui SARA

Datuk Seri Amir Hamzah turut menjelaskan bahawa bantuan yang diberikan akan dikreditkan ke dalam MyKad penerima. Kredit yang diterima setiap bulan boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan asas seperti bahan makanan, produk kebersihan diri, ubat-ubatan, dan kelengkapan persekolahan.

Selain itu, baki kredit bulanan yang tidak digunakan boleh dibawa ke hadapan selama setahun, memberi fleksibiliti kepada penerima untuk merancang perbelanjaan mereka dengan lebih baik.

Baca lagi | Bantuan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 Bermula Rabu Ini

Peningkatan Bilangan Kedai Berdaftar untuk Program SARA

Mulai tahun ini, penerima bantuan boleh membuat pembelian di 1,700 kedai runcit berdaftar di seluruh negara, meningkat berbanding hanya 700 kedai pada tahun lalu. Langkah ini diambil bagi memastikan lebih ramai penerima SARA dapat mengakses barangan keperluan dengan lebih mudah dan luas.

Tambahnya, sehingga hari ini, penerima SARA telah pun membelanjakan sebanyak RM67 juta di kedai-kedai runcit berdaftar di seluruh negara untuk membeli barang keperluan asas.

Dengan peningkatan jumlah penerima, kadar bantuan yang lebih tinggi, serta jaringan kedai runcit yang diperluas, kerajaan berharap inisiatif SARA ini akan memberikan impak positif kepada golongan berpendapatan rendah dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa.

About Syaqiq Al Azdi

Syaqiq Al Azdi adalah seorang penulis laman web WordPress yang mahir
dengan pengalaman selama 5 tahun dalam menghasilkan kandungan yang
menarik dan mesra SEO. Mempunyai Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran
Perniagaan, Syaqiq menggabungkan kepintaran perniagaan dengan
pemahaman mendalam tentang penulisan web, memastikan kandungan
yang dihasilkan selaras dengan keperluan pengguna dan matlamat
perniagaan

Read Previous

Kes Tembak Tanjung Rhu: SOP Senjata Api APMM Diteliti Semula

Read Next

Kes Bunuh Norshamira Zainal: Lelaki Direman Tujuh Hari

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *